Pages

Wednesday, April 13, 2011

Menikmati Buah Yang Manis

Assalamualaikum…

Sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id r.a. yang bermaksud: “Wajib ke atasmu bertaqwa kepada Allah kerana taqwa merupakan himpunan segala kebaikan. Wajib ke atasmu berjihad kerana jihad merupakan ibadah orang Islam. Dan wajib ke atasmu tetap dalam mengingati Allah kerana zikrullah itu merupakan cahaya bagimu.” (Riwayat Ibn al-Dharis)

Pada kali ini, saya berminat untuk membicarakan tentang taqwa. Boleh jadi ungkapan dan peringatan “ittaqullah” yang saban minggu kita dengar daripada khatib di mimbar-mimbar masjid jarang dapat dihayati kerana definisi taqwa yang masih samar.

Definisi Taqwa

Apakah maksud taqwa? Apakah taqwa itu merupakan sifat yang boleh dicari menerusi jalan menuntut ilmu semata-mata?

Sebenarnya para ulama mendefinisikan taqwa dengan pelbagai takrif. Namun dari segi bahasa, taqwa membawa maksud “takut” atau “memelihara”. Manakala dari segi istilah pula, saya cuba menukilkan definisinya menerusi pandangan ulama tasawuf antaranya:

Al-Nasr Abazi r.a. berkata: “Taqwa ialah seseorang yang memelihara dirinya daripada menyembah selain daripada Allah s.w.t.”



Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari berkata: “Taqwa ialah kamu menjauhkan daripada perkara-perkara yang menjauhkan diri kamu daripada Allah.”

Syeikh Ibn Ata’illah r.a. berkata: “Taqwa terbahagi kepada dua iaitu taqwa zahir dan taqwa batin. Taqwa zahir adalah dengan menjaga batas syariat manakala taqwa batin pula disertakan dengan niat dan keikhlasan.”

Thalq bin Habib r.a. berkata: “Taqwa ialah engkau menanti cahaya (petunjuk) daripada-Nya demi mengharapkan pahala di sisi-Nya. Serta engkau menjauhkan dirimu daripada segala perbuatan maksiat menerusi petunjuk daripada-Nya kerana menghindari serta takut akan seksaan-Nya.”

Inilah antara definisi taqwa di sisi ulama tasawuf seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Abul Qasim Karim Hawazin al-Qusyairi dalam Risalah al-Qusyairiah.

Taqwa Ibarat Buah yang Manis

Taqwa merupakan puncak segala penghasilan terhadap amalan kehambaan dalam mentaati Allah. Ia bukan semata-mata teori yang dipelajari tetapi taqwa terhasil dari ketaatan yang bersungguh-sungguh kepada-Nya Yang Maha Agung. Tidak dikira sempurna taqwa seseorang sekiranya ia masih menyerahkan sekalipun sekecil zarah bahagian kehidupan daripada siri kehidupannya kepada selain daripada Allah s.w.t.

Taqwa seumpama buah manis yang terhasil apabila pokok syariat itu dijaga dengan sebaiknya. Apabila seseorang itu dikurniakan taqwa menerusi jalan hidayah-Nya, maka terarahlah pandangan batinnya kepada akhirat yang bersifat hakikat. Ia akan mengambil dunia hanya sebagai pinjaman.

Al-Kattani pernah mengumpamakan taqwa sebagaimana berikut: “Sesungguhnya dunia diciptakan hanya semata-mata untuk manusia menerima cubaan (yang akan meningkatkan taqarrubnya kepada Alllah), manakala akhirat diciptakan agar manusia itu bertaqwa (tunduk dan takut kepada Allah), manakala akhirat diciptakan agar manusia itu bertaqwa (tunduk dan takut kepada Allah).”

Pahitnya Terputus “Relationship” dengan Allah

Bahkan diriwayatkan bahawa Abu Hanifah tidak pernah berteduh dibawah bayangan pohon dan tanaman yang dimiliki oleh orang yang mempunyai hutang dengannya. Ini kerana ketaqwaan Abu Hanifah apabila mengingatkan sebuah hadis Rasulullah yang menyebut: “Setiap hutang yang mendapat keuntungan adalah riba.” (Riwayat al-Hartis daripada Abu Usamah)

Subhanallah! Dengan sifat ketaqwaannya itu, Abu Hanifah menganggap bahawa berteduh dengan mengambil manfaat daripada teduhan pokok orang yang masih berhutang dengannya itupun sudah dianggap riba. Inilah kesempurnaan taqwa yang terhasil apabila hati sentiasa berhubung dengan Allah s.w.t.

Benarlah kata Syeikh al-Syibli: “Apabila engkau telah mengecapi manisnya berhubung dengan-Nya pasti kamu mengetahui betapa pahitnya putus hubungan (relationship) dengan-Nya.


Penulis berdoa agar Allah Azzawajalla sentiasa membimbing kita dalam melaksanakan ketaatan kepada Nya dan hasilnya akan terpancarlah nur taqwa buat menyuluh perjalanan kita ke perkampungan akhirat yang lebih baik serta kekal abadi.

Menuju Hati Yang Sejahtera v(^_^)
~Asyraf Hernandez~

Wallahu a’lam…

Pedoman : Manusia tanpa taqwa hidupnya bagaikan tidak terpimpin, lalu kehidupannya dibiarkan hanyut mengikut arus dan kalaupun terhenti hanya apabila terhalang. Seseorang yang berjalan ke sesuatu destinasi, tatkala bertemu wanita cantik , tidak sanggup merosakkan maruahnya jika dalam hatinya ada iman dan taqwa. Begitulah gambaran betapa pentingnya iman dan taqwa.

0 comments: