Pages

Friday, May 6, 2011

Bukti Al-Quran itu Benar!

Assalamualaikum dan salam sejahtera anda semua…

Hari ini, saya berminat untuk membicarakan dua buah kisah yang saya merasakan sudah cukup untuk menceritakan bahawa al-Quran itu adalah benar diturunkan dari Allah S.W.T dan bukannya rekaan semata-mata.

Kisah 1: Siapa Ibu Kepada Bayi Ini?

Ada seorang doktor beragama Islam bekerja di sebuah hospital di negara Barat. Namun, doktor Muslim ini amat disenangi dan dihormati kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, biarpun kesemua pakar di hospital berkenaan dari kalangan bukan Islam.

Doktor Muslim ini berkawan baik dengan seorang doktor beragama Kristian. Walaupun berlainan agama, namun mereka tiada masalah bekerjasama dalam usaha merawat pesakit.

Suatu hari, dua orang wanita melahirkan bayi pada waktu yang sama di hospital tersebut. Si ibu pertama melahirkan bayi lelaki dan ibu kedua, mendapat bayi perempuan.

Masalah mula berlaku akibat kecuaian seorang jururawat, kedua-dua bayi tersebut telah bertukar. Peristiwa ini menimbulkan kebingungan para doctor di hospital berkenaan. Bagaimana mereka hendak mengenal pasti yang mana satukah ibu kepada kedua-dua bayi tersebut?

Doktor beragama Kristian tadi teringat kepada teman baiknya si doktor Muslim. Lantas beliau bertanya kepada temannya: “Dulu engkau pernah mengatakan bahawa al-Quran itu ada jawapan kepada segala persoalan dan mampu menjelaskan segala sesuatu kemusykilan. Oleh itu, cuba engkau tunjukkan kepadaku cara untuk mengetahui yang mana satukah ibu kepada kedua-dua bayi ini!”

Jawap doktor Muslim: “Benar. Al-Quran telah menerangkan segala-galanya. Aku akan tunjukkan padamu tentang kebenarannya!”

Doktor Muslim pun meminta contoh air susu daripada kedua-dua ibu yang baru melahirkan itu. Tujuannya mahu menjalankan ujian terhadap kandungan air susu tersebut.

Setelah mendapat keputusan hasil ujian tersebut, doktor Muslim ini tanpa ragu memberitahu bahawa si ibu yang tinggi kandungan garam dan mineral dalam air susunya adalah ibu kepada bayi lelaki manakala kandungan mineral yang rendah bermakna wanita itu adalah ibu kepada bayi perempuan.

Doktor beragama Kristian itu kehairanan lalu bertanya: “Berdasarkan apa engkau berjaya mendapat keputusan mengagumkan ini?”


“Allah telah mensyariatkan kepada kamu mengenai wasiat buat anak-anakmu di mana bahagian seorang anak lelaki adalah menyamai dua bahagian anak perempuan.”(Surah an-Nisa’, ayat 11).

Lalu doktor Muslim membacakan sepotong surah an-Nisa’ ayat 11, lantas beliau menerangkan kepada rakannya itu: “Melalui ayat ini, Allah menjelaskan bahawa satu bahagian lelaki adalah bersamaan dengan dua bahagian perempuan. Bermakna bahagian lelaki adalah dua kali ganda berbanding wanita.

“Perbandingan kadar garam dan mineral pada air susu kedua-dua ibu tersebut sudah jelas menunjukkan bahawa kandungan yang terdapat dalam air susu ibu bayi lelaki dua kali ganda banyaknya berbanding susu ibu bayi perempuan. Inilah yang membuktikan siapa ibu kepada bayi-bayi tersebut!”

Penjelasan itu membuatkan doktor beragama Kristian itu berasa amat kagum. Lantas, kerana sepotong ayat itulah, si doktor Kristian akhirnya memeluk Islam!

Kisah 2: Firaun Ramsess II

Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari, mengkaji, menganalisis mumia Firaun, Ramsess II iaitu Firaun yang mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan para pengikut Baginda.


Tawaran itu disambut baik, lalu Mesir membenarkan mumia Ramsess diterbangkan ke Paris. Setibanya di Paris mumia itu disambut dengan penuh meriah sebelum ditempatkan di ruang khas Pusat Arkeologi Perancis.

Di situ menanti para pakar, doktor bedah dan pakar autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal iaitu Prof. Dr. Maurice Bucaille untuk menyiasat punca kematian Ramses II.

Dr. Bucaille merupakan seorang pakar bedah Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Pada tahun 1945 beliau diikitiraf sebagai pakar di bidang gastroenterologi.

Khidmat Dr. Bucaille, banyak digunakan oleh kenamaan Perancis termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Dengan pengalaman dan kehebatannya Dr. Bucaille yakin mampu membongkar misteri di sebalik penyebab kematian Ramsess II itu.

Setelah dikaji hasilnya sangat mengejutkan Dr. Bucaille menjumpai sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut. Ini bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut.

Ini bermakna jasad Ramsess telah dikeluarkan dari laut, sebelum diawet menjadi mumia supaya jasad itu kekal. Tetapi penemuan itu menimbulkan persoalan besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih berkeadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan dari laut?

Tanpa berlengah lagi Dr. Bucaille menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan itu diterbitkan dengan tajuk: Les Momies Des Pharaons Et La Midecine (Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden).

Hasil laporan itu, Dr. Bucaille telah menerima anugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan Anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakannya sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan itu sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille. Baginya membongkar sesebuah misteri lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan menggunakan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih.

Kawannya terus bercerita bahawa al-Quran yang diyakini dan menjadi pegangan umat Islam telah pun menceritakan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.


Kata-kata itu sekali lagi menimbulkan persoalan kepada Dr.Bucaille. adakah ia dapat diterima akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Tetapi al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Padahal kejadian Firaun mengejar Musa berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” kata hati kecilnya.

Akibat masih tidak berpuas hati, Dr. Bucaille mendapatkan kitab Injil. Tapi di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Dia menyelak pula Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama). Tapi kitab itu hanya menceritakan; “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu.” (Exocus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille semakin bingung kerana pencariannya belum berhasil. Apa seterusnya yang terjadi kepada mayat Firaun selepas tenggelam masih belum ditemuinya.

Selepas mumia dikembalikan ke Mesir, Dr. Bucaille terus berjumpa dengan para Ilmuan Islam untuk mengetahui sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang ilmuan Islam ditemuinya telah membacakan surah Yunus, ayat 92, berhubung kisah Firaun yang tenggelam itu.


“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (wahai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang dibelakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Yunus: 92).

Apabila mendengar ayat itu, Dr Bucaille terkedu. Hatinya benar-benar tersentuh. Al-Quran telah menjelaskan bahawa jasad Firaun tidak reput ditelan laut sebagai peringatan kepada umat seterusnya.

Akhirnya Dr. Bucaille mengakui kebenaran ayat tadi kerana ia logik, dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Tanpa berlengah dengan hati yang begitu bergetaran menahan sebak dan terharu Dr. Bucaille bangun. Dengan suara lantang, Dr. Bucaille bersuara: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Selepas pulang ke Perancis, Dr. Bucaille terus mengkaji al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, The Qur’an, and Science: The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang telah menukar namanya kepada Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.


“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikit pun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran."

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” luahnya.

Wallahua’lam….

Pedoman: Allah berfirman dalam kalam suci-Nya yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri” Surah al-Israa ayat 88

0 comments: