Pages

Tuesday, March 22, 2011

Awasilah Amarahmu…

Assalamualaikum Warahmatullah...

Marah merupakan tabiat atau sifat semula jadi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Biasanya apabila seseorang marah, dia akan bertindak diluar jangkaan. Perasaan marah boleh menjadikan jiwa seseorang itu tidak tenteram.

Marah boleh jadi sifat tercela dan boleh menjadi sifat terpuji. Marah yang terpuji adalah marah apabila agamanya dikeji dan dihina. Sekiranya kita tidak berasa marah apabila agama dihina, maka ia menjadi sifat tercela dan Allah akan murka kepada kita. Dengan sifat marah, lahirlah semangat untuk membela dan mempertahankan agama.

Sekiranya, kita marah kerana peribadi kita disakiti, maka hendaklah kita tahan kemarahan tersebut. Ia merupakan sifat terpuji yang sepatutnya dimiliki oleh orang yang mengaku dirinya beriman.

Dalam Islam, orang yang disebut sebagai gagah perkasa bukanlah orang yang dapat mengalahkan orang lain, tetapi orang yang paling gagah ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. Hal tersebut sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a. bahawa:

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukanlah orang yang gagah perkasa itu ialah orang yang mampu merebahkan orang lain, tetapi sebenarnya orang yang gagah perkasa itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah.

La Taghdob!


“Fuad, kau kena marah anak sekali-sekala. Kalau tak degil bila besar nanti”, saudara mara saya memberi nasihat. Saya mengangguk, mereka lebih dulu 'makan garam' dari saya. Pengalaman mereka berguna bila diperlukan.

“Budak datang lambat memang aku hambat, tak mahu dengar cakap!”, pesan seorang rakan sekerja saya, mula-mula saya bertugas di Politeknik.

“Hukuman rotan ni kena perkenal semula,kami dah tak tau apa nak buat dengan murid-murid hari ni. Degil sangat”, rungut seorang guru sekolah. Budak-budak sekarang memang mencabar kesabaran. Saya akui.

Seolah-olah dengan memarahi mampu menyelesaikan semua masalah.

Tetapi apabila saya teliti semula ayat-ayat Al-Quran dan hadith tentang sifat marah ini, semuanya terbalik. Marah dianggap kelemahan dan harus dielak oleh setiap manusia. Sikap marah akan menyumbang kepada masalah jiwa dan berbuat dosa.


Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;(Ali Imran:134)

Antara akhlak yang keji adalah apabila seseorang itu marah ketika peribadinya disakiti, lalu ia bertindak menggila, tetapi sebaliknya tidak marah apabila agama dihina dan dikeji. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w.: “Berpesanlah kepadaku.”

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jangan marah.” Lalu lelaki tersebut meminta perkara yang sama berulang kali, tetapi Rasulullah tetap menjawap: “Jangan marah.”

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud r.a, beliau berkata: “Seakan-akan saya masih melihat Rasulullah s.a.w. sewaktu menceritakan salah seorang daripada para nabi ketika dipukul oleh kaumnya sehingga berlumuran darah dan ia mengusap darah dari mukanya sambil berdoa: “Wahai Allah, ampunilah dosa kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Manakala hadis yang lain riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Mas’ud r.a., beliau berkata:

“Setelah selesai perang Hunain, Rasulullah mendahulukan orang yang terkemuka dalam membahagikan harta rampasan. Baginda memberikan 100 ekor unta kepada al-Aqra’ dan memberikan Uyainah bin Hisn dan beberapa pemuka bangsa Arab yang didahulukan dalam pembahagian.

“Kemudian ada seorang lelaki berkata: ‘Demi Allah, sesungguhnya pembahagian ini tidak adil dan bukan kerana Allah.”

“Maka saya berkata: ‘Demi Allah, saya benar-benar akan menyampaikan hal ini kepada Rasulullah s.a.w.’

“Kemudian saya pergi kepada Baginda dan menceritakan apa yang dikatakan oleh lelaki tadi. Tiba-tiba wajah Baginda berubah menjadi merah dan kemudian Baginda bersabda: 

Siapakah yang adil, jika Allah dan Rasul-Nya dianggap tidak adil?’ Baginda bersabda lagi: ‘Semoga Allah sentiasa melimpahkan kepada Nabi Musa kerana beliau telah disakiti hatinya tetapi beliau tetap sabar.”

Rawat Marahmu

1. Segera Mengingati Allah

Apabila anda berada dalam keadaan marah kerana disakiti oleh orang lain, maka segeralah mengingati Allah dengan menyedari keutamaan menahan marah sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapatkan) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang lebarnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa, iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahan.”

Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, daripada Mu’az bin Anas r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang menahan marah padahal ia boleh melepaskan amarahnya itu, maka dia akan dipanggil Allah pada hari kiamat bersama para pemimpin makhluk sehingga dipilihkan untuknya bidadari mana yang akan dikahwinkan dengannya mengikut kehendaknya.”

2. Berlindung kepada Allah

Kita hendaklah memohon perlindungan kepada Allah daripada sifat marah kerana marah itu berasal daripada syaitan. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Fussilat ayat 36 yang bermaksud:

“Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka pohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Ibn Adi daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: 

“Jika seseorang lelaki marah, lalu ia berkata: ‘A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim’ yang bermaksud: (Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam), maka kemarahannya akan reda.”

Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Surad r.a. yang berkata: “Dua orang lelaki sedang mencaci maki dihadapan Rasulullah s.a.w. Salah seorang daripada mereka matanya merah dan urat darah di lehernya timbul. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Sesungguhnya aku tahu suatu kalimah yang apabila diucapkan, maka apa yang dideritai itu menjadi hilang, iaitu: ‘A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim’. Lelaki itu berkata: ‘Apakah engkau (Rasulullah) melihat aku gila?’”

3. Wuduk Penyejuk Kemarahan

Syaitan memang akan berusaha menjadikan kita marah. Apabila kita berada dalam keadaan marah, mudah sekali baginya menggoda dan memesongkan kita kerana pertimbangan yang sihat telah hilang dan akal telah dikuasai emosi sehingga tidak dapat berfikir dengan wajar. Jika seseorang dapat mengawal dirinya daripada melepaskan kemarahan, bererti dia telah berjaya melawan syaitan yang bakal mengheretnya ke jurang kebinasaan dan penyesalan.

Abu Wa’il al-Qash, Abdullah bin Bujair al-Shan’ani rhm. berkata: “Kami masuk menemui Urwah bin Muhammad al-Sa’di. Seorang lelaki sedang berbicara dengannya, sehingga menyebabkan beliau marah. Lantas beliau bangun dan pergi berwuduk. Kemudian beliau berkata: ‘Ayahku menceritakan kepadaku daripada datukku Athiyyah r.a., katanya: 

‘Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Sesungguhnya kemarahan itu berpunca daripada syaitan. Syaitan pula dicipta daripada api. Sesungguhnya api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh sebab itu, apabila seseorang antara kamu naik marah, maka hendaklah dia berwuduk.”” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

4. Diam Merawat Kemarahan

Sekiranya anda sedang marah, sebaiknya anda diam. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad yang bermaksud:

“Jika seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam.”

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Abdullah bin Amru yang berkata: 

“Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud) ‘Sesiapa yang diam, maka ia akan selamat.’” Sebenarnya diam dalam perkara ini adalah sebahagian daripada iman.

5. Duduk dan Berbaring

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Zar bahawa pada waktu itu beliau sedang minum di kolahnya, lalu datang suatu kaum seraya berkata: “Siapa antara kamu yang berani mengganggu Abu Zar dan mengambil beberapa helai rambut kepalanya?” salah seorang berkata: “Saya!”

Lalu orang itu datang mengeruhkan kolah dan memukulnya. Pada ketika itu Abu Zar yang sedang berdiri lalu duduk, kemudian berbaring.

Beliau ditanya: “Wahai Abu Zar, mengapa kamu duduk kemudian kamu berbaring?” Dia menjawap: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami:

‘Jika salah seorang antara kamu marah, sedangkan ia ketika itu dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika marahnya dapat hilang dengan duduk (cukuplah ia duduk). Jika tidak, hendaklah ia berbaring.””


Yang Sentiasa Co0l ^_^
-Asyraf Hernandez-

Pedoman: Demikianlah sunah yang telah diwariskan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Petua-petua menyejukkan api kemarahan telah diajarkan kepada sahabat, dipraktikkan oleh mereka dan seterusnya disampaikan kepada generasi berikutnya sehinggalah sampai kepada kita. Syukur Alhamdulillah. Wallahu a’lam.

0 comments: