Pages

Wednesday, March 2, 2011

Mukmin Profesional

Ada pepatah mengatakan, anda ialah apa yang anda fikirkan. Maka kita tanya di sini, apa yang anda selalu fikirkan? Adakah anda selalu memikirkan apa yang anda nak miliki atau siapa yang anda nak jadi?


Jika kita banyak berfikir apa yang kita nak miliki, sudah pasti kita tidak dapat fokus kepada siapa yang kita nak jadi. Sedangkan ada ungkapan mengatakan siapa anda akan menentukan apa yang anda buat dan apa yang anda buat itulah yang anda akan dapat. Jadi kalau kita hendak hasil yang lebih besar, lebih hebat maka kita kena memikirkan kena beri tumpuan kepada soal siapa yang kita nak jadi.

Siapa yang kita nak jadi ini melibatkan dua perkara; iaitu hati kita dan akal kita. Kedua-dua ini perlu dibangunkan. Hati perlu dibangunkan supaya sihat dan akal perlu dibangunkan supaya cerdas dan cerdik. Kalau kita hanya memberi tumpuan kepada pembangunan akal dan kesihatan fizikal sahaja tetapi mengabaikan pembangunan hati, maka kehidupan kita menjadi celaru kerana kita tidak memiliki arah tuju yang tepat. Sedangkan syarat utama untuk seseorang itu berjaya dalam kehidupan ialah dia perlu memiliki arah tuju yang tepat dan jelas. Alat utama yang boleh memandu seseorang ke arah matlamat yang tepat dan jelas hanyalah hati yang sihat dan sejahtera. Allah s.w.t befirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“(Iaitu) pada hari yang mana harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.” (Surah al-Syu’ara 26: 88-89)

Anak-anak, harta, pangkat, kedudukan, pengaruh melambangkan kejayaan di dunia, tetapi tanpa disertai dengan hati yang sihat, ia tidak berguna di sisi Allah s.w.t. Kalau sesuatu itu tiada nilai di sisi Allah ia pasti membawa kebinasaan dan kemusnahan kepada empunya diri di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Membangunkan Akal dan Hati

Allah s.w.t pencipta dan pemilik kehidupan ini telah memberi panduan kepada kita untuk membangunkan akal dan hati supaya kita menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud,



“Sesungguhnya orang yang paling baik untuk diberi kerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas 28:26)


Kuat disini bermaksud sihat tubuh badan dan cerdas akal manakala amanah bermaksud baik kelakuannya, sihat hatinya. Daripada sini timbul konsep Mukmin Profesional, iaitu orang yang amanah (mukmin) dan kuat (professional) dari segi usahanya atau cerdas akalnya.

Hati yang positif

Kuat atau profesional dalam menjalankan tugasnya bermaksud seseorang yang mempunyai kemampuan (kompetensi) yang tinggi untuk melakukan sesuatu tanggungjawap atau peranan. Termasuk dalam istilah ini ialah ilmu, kemahiran, bakat yang ada pada seseorang untuk membolehkannya melakukan sesuatu pekerjaan dengan cekap dan berkesan. Kuat juga dimaksudkan sebagai kesihatan fizikal dan kecerdasan akal.

Manakala amanah pula merujuk kepada soal kelakuan atau soal kemukminan. Ini soal kualiti seseorang; iaitu hati yang sihat, hati yang positif dan hati yang murni.

Hati yang positif merujuk kepada soal-soal semangat bekerja, kesungguhan bekerja, keseronokan, keghairahan, komitmen, kerjasama, kemesraan, keprihatinan dan kesetiaan dalam menjalankan tugas. Hati yang positif juga ialah hati yang tidak dipengaruhi oleh keadaan sekelilingnya terutamanya keadaan yang negatif. Hati sebegini akan kekal positif walaupun dia sedang berhadapan dengan apa jua masalah, kegawatan atau krisis.

Manakala hati yang murni pula berkait dengan soal motif, soal kebersihan hati selain daripada Allah, selain daripada mendapat redha Allah. Ia ada kaitan dengan tujuan seseorang itu bekerja. Apa yang mendorongnya sehingga sanggup bersusah-payah menjalankan sesuatu tugas dan tanggungjawap itu? Adakah ia didorong oleh keinginan untuk menerima (keuntungan jangka pendek) atau keinginan untuk memberi (keuntungan jangka panjang).


Keinginan Untuk Memberi

Orang yang didorong oleh keinginan untuk memberi kebaikan kerana mengharapkan redha Allah, dia lebih jujur, lebih ikhlas, lebih bersemangat, lebih ghairah, lebih seronok dengan kerjayanya, berbanding dengan orang yang didorong oleh keinginan untuk mengambil sesuatu, mengambil upah, mengambil hak, mengambil pangkat, kemasyhuran, penghargaan dan kedudukan dan sebagainya. Soal memberi ialah soal keperluan; manakala soal mengambil ialah soal kemahuan. Antara kemahuan dengan keperluan, kedua-duanya penting, tetapi keperluan lebih penting kerana itu matlamat kita dan ia mesti diberi keutamaan, berbanding kemahuan.

Justeru, konsep Mukmin Profesional sebenarnya ialah orang yang memiliki kualiti hati yang sihat, hati yang positif dan hati yang murni; pendek kata, hati yang didorong oleh keinginan untuk memberi kebaikan kerana Allah semata-mata. Ia memiliki kompetensi yang tinggi untuk melakukan peranannya. Hanya orang yang seperti ini sahaja yang mempu mengeluarkan hasil yang luar biasa.

Antara mukmin dengan profesional, walaupun kedua-dua ini penting untuk dibangunkan, tetapi kedua-duanya berpusat di hati. Ciri mukmin mahupun professional bermula di hati. Justeru, pastikan aktiviti harian kita membawa kepada kesuburan hati dengan sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan mengutamakan hak-hak Nya dan menjauhkan diri daripada segala yang dilarang-Nya. Hal ini kerana semua larangan Allah itu akan menyebabkan hati kita kotor atau sakit atau boleh menyebabkan hati kita mati kalau larangan Allah itu dilakukan berulang-ulang kali meskipun dosa kecil, kalau ia diulang berulang-ulang kali, ia akan menjurus kearah dosa besar apatah lagi dosa-dosa besar yang diulang-ulang kali. Nau’zubillah…


Kehidupan di dunia ini hakikatnya ialah satu perjalanan menuju Allah s.w.t hanya hati yang sihat, hati yang berkualiti, hati yang positif dan hati yang murni sahaja yang boleh membawa kita menuju Allah dengan membawa bekalan yang baik-baik yang diusahakan di dunia ini dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kita.

Di akhirat kita akan dibalas oleh Allah mengikut apa yang telah diusahakan itu berpandukan kualiti hati dan kualiti akal kita; iaitu sejauh mana kita telah benar-benar menjadi – Mukmin Profesional.


To Be 'Professional Mukmeen'
-Asyraf Hernandez-

Pedoman : memang benar, kualti hasil ditentukan oleh kualiti hati. Oleh itu, hati perlu dibangunkan supaya sentiasa sihat dan akal perlu dibangunkan supaya cerdas dan cerdik.

0 comments: