Pages

Sunday, October 16, 2011

Hasad Dengki Sifat Iblis

Assalamualaikum.

Tugas seorang pengintip adalah mencari rahsia atau maklumat yang berharga untuk disalurkan kepada pihak-pihak tertentu. Sebagai imbal balik, si pengintip akan memperoleh manfaat tertentu untuk kepentingan hidupnya.

Demikianlah analogi mudah yang kita boleh tempelkan kepada mereka yang suka mencari kesalahan orang lain. Sifat ini sebenarnya terhasil dari sifat hasad dengki yang tidak berkesudahan.

Tanda mudah untuk mengesan penyakit ini adalah seseorang itu merasa susah hati apabila melihat kesengan yang dinikmati oleh orang lain sebaliknya seronok apabila melihat orang lain mendapat kesusahan.

Hasad adalah kalimah bahasa Arab yang bermaksud dengki. Dalam laras bahasa Melayu, kedua-dua kalimah Arab dan Melayu ini digabungkan, mungkin sebagai kata penguat kepada kalimah pertama.

Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan kejayaan orang lain yang terus maju kehadapan. Penyakit ini umpama satu virus yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar diubati.

Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: “Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama”. (riwayat at-Tirmidzi).

Hasad hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis.

Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu, ia boleh merosakkan agama.

Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. (ali-‘Imran: 120).

Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki. (al-Falaq: 5).

Rasulullah juga berperingat dalam hadith yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering” (riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW juga melarang sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Janganlah kalian saling mendengki” (Riwayat Muslim).

Dalaim institusi keluarga, perasaan hasad dengki mungkin boleh berlaku dalam kalangan adik beradik, ipar duai dan sebagainya. Ia akhirnya menyebabkan hubungan ikatan keluargaan menjadi renggang dan semakin jauh.

Pejabat atau tempat kerja juga salah satu tempat berleluasanya penyakit hasad dengki ini. hal ini dapat diperhatikan apabila menjelang musim kenaikan pangkat, perolehan bonus dan sebagainya.
Perasaan ini muncul apabila kita membandingkan kejayaan orang lain dengan kejayaan atau kegagalan yang ada pada diri kita. Lebih buruk lagi, hasad dengki biasanya datang bersama dengan perancangan untuk menjatuhkannya.

Sepatutnya, dalam hal ini, kita perlu melihat kejayaan orang lain sebagai pemangkin untuk kita tingkatkan usaha dan prestasi bagi bersaing secara sihat dengannya.

Namun, mereka yang ditimpa penyakit hasad dengki ini merasakan kejayaan orang lain itu sebagai ancaman terhadap dirinya dan sebagai penghalang kepadanya untuk maju kehadapan.

Cara yang paling mudah memuaskan hatinya adalah dengan mencari kesalahan orang lain untuk mencalar reputasinya dalam kalangan rakan-rakan sepejabat mahupun majikan.

Suasana ini akan berlanjutan sehinggalah ada yang sanggup menuduh rakan-rakan sekerja dengan tuduhan melampau serta ada yang sanggup melemparkan fitnah semata-mata hasad dengki dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang lain.

Semuanya adalah untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat sekaligu menjamin laluannya untuk berada di kemuncak terbuka luas.

Allah SWT menempelak golongan yang mempunyai hasad dengki terhadap nikmat Allah SWT kepada orang lain melalui firman-Nya: Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka. (an-Nisa’: 54).

Biasanya, orang yang mempunyai hasad dengki dalam diri sebenarnya enggan mengakui kelemahan dan kekurangan diri. Ia menjadikan orang lain sasaran menutup kekurangan dan kelemahan pada dirinya.

Apabila disebarkan fitnah dan keburukan orang lain di mata masyarakat, maka datanglah perasaan bangga seolah-olah dialah yang terbaik. Sedangkan Nabi Allah SWT bersabda: “Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa”. (riwayat Muslim).

Sekiranya subur perasaan hasad dengki ini di dalam sesebuah organisasi, maka suasana yang akan wujud adalah masalah komunikasi dan gerak kerja. Kakitangan akan mempunyai masalah perhubungan kerana masing-masing menganggap orang lain sebagai musuh.

Lalu terdedahlah disana-sini secara keburukan dan aib orang lain yang diselerakkan merata-rata tempat. Sedangkan Nabi SAW amat melarang mendedahkan aib orang lain walaupun ia benar sekalipun kecuali dalam keadaan darurat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keburukan seorang muslim, Allah SWT akan menutup (keburukannya) di dunia dan akhirat.” (riwayat Muslim).

Ketika hadirnya hasad dengki dalam hati, kita perlu tanya, kenapa perlu menyusahkan hati, tidak berpuas hati dengan nikmat Allah kepada orang lain.

Adakah kita tidak berpuas hati dengan keputusan Allah SWT memberikan kurnian-Nya kepada orang lain?

Cemburu melihat kejayaan orang lain tidak salah sekiranya kita iringan dengan sikap yang positif iaitu dengan mengandakan usaha dan doa kepada Allah supaya dikurniakan kejayaan yang berkat.

Orang yang beriman akan redha dengan pemberian Allah kepada dirinya dan kasih kepada rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Apabila disemaikan iman dan taqwa dalam diri, maka secara automatic perasaan hasad dengki akan hilang.

Rawatan segera perlu agar penyakit berbahaya ini tidak merebak dan seterusnya meninggalkan kesan buruk terhadap pengidapnya. Allah SWT menyatakan rawatan yang paling mujarab sebagaimana diterangkan menerusi firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 32.

Dalam ayat ini, Allah SWT melarang hamba-Nya iri hati (dengki) terhadap rezeki yang berada di tangan orang lain, dan Dia menunjukkan gantinya yang bermanfaat di dunia dan akhirat iaitu dengan memohon kurnian-Nya.

Iman adalah ubat paling mujarab kepada penyakit ini. Dengan iman akan melahirkan rasa takut kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan rindukan syurga-Nya.

Natijahnya akan mengembalikan kita kepada mentaati Allah dan Rasul. Akhirnya lahirlah perasaan saling berkasih sayang sesama insan.

Penyakit ini boleh dirawat menerusi mujahadah melawan nafsu tersebut dengan cara takhalli iaitu mengosong, membuang atau mensunyikan diri daripada sifat tercela tersebut.

Cara yang kedua dengan cara tahalli iaitu mengisi atau menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan cara yang terakhir menerusi tajalli iaitu menghadirkan rasa kebesaran dan kehebatan Allah.

Disamping itu, seseorang perlulah bersandar kepada Allah, bermunajat serta memohon kepada-Nya agar terhindar daripada penyakit yang kotor ini dari dalam hatinya.

Wallahua’lam…

-Bersegera dalam bertaubat-
$ Asyraf Hernandez $

0 comments: