Pages

Tuesday, September 6, 2011

Baik Ulama, Baik Umara, Baiklah Ummah

Assalamualaikum…

Sejarah kegemilangan Islam telah diharumkan oleh umara berjiwa hamba seperti Maharaja Najashi, Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Murad II, Sultan Muhammad al-Fateh, Maharaja Aurangzeb dan Sultan Alaudin Riayat Syah pada zaman Melayu Melaka. Namun, sejarah juga telah memaparkan golongan umara yang “Bersultan di mata, bertuhan di hati” seperti Firaun, Namrud, al-Malik Farouq, Shah Iran dan lain-lain.

Kekuasaan dan harta selalunya beriringan. Sesiapa yang berkuasa, dialah yang berharta. Namun hakikatnya, semua umara ialah hamba Allah yang hina-dina di hadapan Allah s.w.t. Oleh sebab itu, umara yang bijak akan menggunakan nikmat itu untuk berbakti kepada Allah. Harta, kuasa dan pengaruh, semuanya dikorbankan untuk Allah. Mereka inilah yang menjadi umara di dunia dan ‘umara’ di akhirat. Mereka juga umara pada siang hari dan hamba pada malam hari. Sayangnya, hanya sedikit daripada umara yang pernah berkuasa di dunia ini berjaya berbuat demikian. Mengapa?

Puncanya, umara sangat terdedah kepada ujian dunia. Bukan mudah untuk membebaskan diri daripada propaganda dan ujian dunia. Apalagi jika ia telah melimpah-ruah di tangan. Dunia ialah kepala segala kejahatan. Imam al-Ghazali telah mengingatkan bahawa seseorang tidak akan dapat menjadi hamba Allah dengan sebenarnya jika masih mencintai dunia. Dalam al-Quran, Allah mengingatkan yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan” (Surah al-An’am 6:32)

Lebih mudah untuk tidak mencintai dunia semasa ia tiada dalam genggaman, berbanding apabila dunia sudah berada dalam genggaman. Umar al-Khattab menangis ketika dibawa ke hadapannya mahkota Maharaja Parsi, lantas berkata: “Sesungguhnya aku takut perkara-perkara ini (harta) yang akan menjauhkan kita dengan Allah.”

Menjadi orang miskin yang sabar adalah payah, namun menjadi orang kaya yang syukur jauh lebih payah. Ini disebabkan manusia sering lupa apabila diuji dengan kesenangan berbanding diuji dengan kesusahan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna sudah tidak ada jalan untuk umara membebaskan diri daripada godaan dunia. Mereka boleh berbuat demikian dengan bantuan dan nasihat para ulama.

Ulama perlu menjadi penasihat kepada umara. Ertinya, ulama mestilah menjadi “The main behind the curtain” dalam mengingatkan, mendidik dan menasihati umara. Dan kadangkala ulama perlu memberi amaran dan peringatan kepada umara untuk melaksanakan perintah Allah. Ibarat mendirikan bumbung dan tiang untuk membuat sebuah rumah, ulama dan umara saling melengkapi antara satu sama lain untuk membina satu kerajaan yang kukuh diredhai oleh Allah s.w.t

Umara mempunyai harta dan kuasa. Ulama mempunyai ilmu dan kekuatan jiwa. Jika semua kekuatan ini digabungkan untuk Islam, nescaya ia menjadi satu kuasa besar yang tiada tolok bandingnya.

Pada zaman kegemilangan Islam, umara sering didampingi ulama-ulama yang ikhlas. Mereka tidak mempunyai kepentingan duniawi sebaliknya memikul satu bebanan yang berat, tanggunjawap memegang amanah untuk membantu umara memimpin negara mengikut syariat Islam. Masih basah dalam ingatan kita bagaimana indah dan tersentuhnya hati membaca dialog-dialog keramat antara Saidina Ja’far bin Abi Talib dengan Maharaja Najashi. Dan masih terpahat kukuh dalam hati setiap Mukmin bagaimana hebat dan berwibawanya surat-surat yang diutus oleh Rasulullah s.a.w. kepada maharaja serata dunia.

Ingatan, didikan dan tiupan angin kesedaran dalam surat-surat Rasulullah s.a.w. dan kata-kata Ja’far al-Tayyar itu tidak sedikit pun dicemari dengan kepetingan-kepentingan duniawi. Tidak ada unsur “membodek” atau “mengampu” kerana ulama dan umara tetap mengekalkan rasa hormat-menghormati.

Langkah-langkah inilah kemudiannya menjadi panduan dan ikutan ulama-ulama yang mengelilingi Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fateh dan umara-umara Islam yang agung dalam sejerah. Di sebalik kegemilangan era pemerintahan mereka, terselit di belakang mereka itu sentiasa ada ulama al-amilin.

Ya, baik ulama, baiklah umara. Dan baik umara, maka baiklah ummah! Wallahua’lam…

Post yang agak ringkas kali ini. ^_^

-Salam Syawal 1432H-
& Muhammad Asyraf bin Ashaari &

Pedoman: Sebaik-baik pemimpin adalah yang mencintai kalian dan kalian mencintai mereka, mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Dan seburuk-buruk pemimpin adalah yang kalian membenci mereka dan mereka pun membenci kalian, kalian melaknati mereka dan mereka pun melaknati kalian.” Dikatakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam: “Wahai Rasulullah, apakah tidak (sebaiknya tatkala itu) kita melawan mereka dengan pedang?” Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata, “Tidak, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian. Dan jika kalian melihat sesuatu yang kalian benci dari para pemimpin kalian, maka bencilah amalannya dan janganlah kalian mencabut tangan kalian dari ketaatan kepadanya.” (Riwayat Muslim) 

0 comments: