Pages

Tuesday, August 10, 2010

Kahwin Muda : Pro & Kontra


Isu kerajaan negeri Melaka untuk membenarkan pelajar berkahwin pada usia muda, bertujuan bagi mengekang gejala hamil luar nikah benar-benar menarik minat saya untuk berkongsi pendapat bersama semua pembaca. Kes-kes pembuangan bayi yang saban hari terpampang di dada akhbar dan berita yang menyentuh tentang topik bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang seperti sampah dimerata-rata tempat oleh ibu-ibu yang tidak keperimanusiaan memberi desakan kepada kerajaan negeri Melaka untuk mencari jalan penyelesaian. Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah menimbulkan sedikit kontroversi apabila bercadang untuk menubuhkan sebuah khas di negeri itu bagi menempatkan anak-anak gadis yang telah terlanjur dan melahirkan anak luar nikah. Sehingga kini, cadangan itu senyap sunyi tanpa sebarang berita. Mungkinkah hasrat beliau itu sudah terkubur dek menerima tentangan dan teguran dari pelbagai pihak terutamanya kerajaan pusat? Masih menjadi tanda tanya. Saya ketawa kecil apabila mendapat tahu tentang cadangan tersebut. Bukan memperlekehkan niat murni mereka apatah lagi ‘menunjuk hebat’, Cuma saya keliru dan tertanya-tanya kepada diri sendiri, adakah ini langkah yang paling bijak untuk menyelesaikan kemelut yang melanda?

Selain untuk berkongsi pendapat tentang isu ini, saya juga tertarik dengan pendapat dari saudara Muhammad Hafizuddin Ramli yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan di ruangan yang sama bertarikh 5 Ogos 2010 yang bertajuk ‘Kahwin Muda Elak Gejala Hamil Luar Nikah’. Saya ingin memperbetulkan sedikit salah faham yang berkaitan dengan penulisan beliau. Hasi pembacaan teliti ke atas penulisan tersebut dan cebisan ilmu yang sempat saya pelajari, saya berasa bertanggungjawap untuk memberi teguran dan seterusnya konsep tentang perkahwinan dapat diperbetulkan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibawah kelolaan menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah membantah idea yang dilontarkan oleh kerajaan negeri dengan alasan risikonya lebih memihak kepada implikasi negatif walaupun beliau sedia maklum bahawa niat kerajaan negeri Melaka baik. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMP), Mohammad Sabri Mohamd Arsad, tidak ketinggalan untuk memberi pendapatnya. Beliau turut membantah dan menolak cadangan kerajaan negeri itu. Katanya, kerajaan perlu mengekalkan keputusan peraturan sebelum ini yang menetapkan bahawa pelajar sekolah berkahwin tidak dibenarkan ke sekolah. Tambah beliau lagi, jika diberi kebenaran berbuat demikian, maka akan menimbulkan satu tingkah laku negatif dalam kalangan pelajar sekaligus mewujudkan suasana tidak selesa di sekolah. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh mereka berdua. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kebenaran berkahwin di bawah umur selayaknya seperti terkandung dalam peruntukan undang-undang Islam bukan diberi kepada semua, sebaliknya ditapis dan bergantung kepada keperluan kes tertentu dan ini sedia maklum termaktub di bawah enakmen Majlis Agama Islam Negeri.

Untuk pengetahuan para pembaca, dalam enakmen Majlis Agama Islam dan peruntukan undang-undang Islam, lelaki yang berumur 18 tahun ke atas dan perempuan 16 tahun ke atas yang dibenarkan berkahwin ada pengecualian oleh Mahkamah Syariah untuk umur berkenaan. Saya bersetuju dengan pendapat beliau yang mengatakan setiap langkah penyelesaian yang diambil bagi membendung gejala hamil nikah dalam erti kata lain telah berzina adalah mengikut persepsi sesetengah pihak yang mungkin dilihat boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut. Selepas mencadangkan penubuhan sekolah khas bagi pelajar mengandung dan berkahwin muda, kerajaan negeri itu ingin ‘menggalakkan’ pula ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah.

Dalam penulisan saudara Hafizuddin di ruangan ini, saya mendapati semua fakta-fakta yang diutarakan adalah benar sama sekali. Tidak ada sedikit pun fakta yang salah dan palsu. Cuma saya menyedari bahawa terdapat sedikit salah faham dan kekeliruan yang ditampakkan menerusi penulisan beliau. Memang benar, perkahwinan pada usia muda bukanlah perkara baru di Negara ini. Saya mengambil contoh, nenek saya sendiri berkahwin ketika usianya mencecah 15 tahun, dan datuk saya pula berusia 18 tahun ketika itu. Apabila membuka suratan sejarah Islam, Saidatina Siti Aisyah binti Abu Bakar tampil sebagai isteri yang paling muda dalam kalangan isteri-isteri Baginda S.A.W. Saidatina Aisyah Humaira’ sudah pun bergelar isteri sewaktu usianya 9 tahun. Jadi, apa yang hendak dihairankan?


Apa yang ingin saya mempersoalkan disini ialah mengapa kita perlu membandingkan usia zaman dahulu dan usia zaman kini? Relevankah? Apakah unsur atau perkara yang boleh dijadikan sebagai alat perbandingan? Nenek dan datuk kita dahulu berkahwin pada zaman yang berlainan, ketika negara baru sahaja dalam proses mencapai kemerdekaan, zaman darurat, pasca kemerdekaan dan sewaktu dengannya. Ekonomi negara baru sahaja membangun, para pemimpin kerajaan baru dilantik, sedang mengatur organisasi kerajaan dan sedang bertungkus-lumus menyusun atur pembangunan negara. Ekonomi semasa tidak stabil disamping hubungan Tanah Melayu dengan negara-negara luar belum terjalin dengan kukuh dan masih belum meluas. Kalau dilihat dari aspek perbandingan sosioekonomi zaman dahulu dan zaman kini sangat berbeza. Kalau dahulu, sesiapa yang menjawat jawatan sebagai seorang kerani sudah dianggap hebat dan berjaya. Kerana peluang untuk menjawat jawatan dalam kerajaan amatlah tipis dan sukar sekali. Sebab itulah kerjaya orang tempatan rata-ratanya hanyalah sebagai nelayan, pesawah, petani, atau lebih muda didefinisikan sebagai ekonomi sara diri kerana mereka bekerja untuk menyara hidup diri sendiri dan keluarga. Mereka merasakan tidak terlibat dalam sebarang bentuk kemajuan negara ketika itu. Bukan niat untuk menghina apatah memandang rendah, tetapi realitinya rata-rata penduduk tanah melayu ketika itu tidak berpelajaran tinggi, dan hanya sekadar belajar untuk membaca dan menulis itupun masih ramai lagi dibelengu buta huruf. Kesempitan hidup ditambah pula dengan tekanan ekonomi yang terumbang ambing membuatkan mereka lebih berdikari dan lebih matang untuk menentukan hala tuju hidup masing-masing. Itulah sebab utama, zaman itu ‘terkenal’ dengan suasana kahwin muda. Kerana masing-masing sudah matang fikirannya, mereka telah terdedah dengan maksud kehidupan itu sebenarnya, mereka benar-benar memahami erti perkahwinan itu, memahami tangungjawap masing-masing, mereka sudah masak dengan kepayahan hidup ketika itu ditambah pula, kebanyakannya pasangan adalah pilihan orang tua.

Apabila dibandingkan dengan zaman sekarang, sangat jauh berbeza. Negara sekarang sudah jauh maju ke hadapan, hubungan diplomatik dan antarabangsa semakin meluas dan akrab, suasana ekonomi yang harmoni membolehkan ramai rakyat tempatan kini sudah hidup mewah. Tiada lagi ‘situasi’ makan ubi kayu. Semua orang diberi peluang yang sama untuk berjaya, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tertinggi. Tambahan pula, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti tersohor tempatan mahupun luar Negara terbuka luas untuk sesiapa yang berkelayakan. Setiap kaum bersaing untuk mendapat tempat yang semakin hari semakin terhad. Persaingan sengit ini tidak sepatutnya dipandang enteng oleh kita terutamanya generasi muda. Mereka lah tonggak utama dan tulang belakang yang bakal menerajui negara suatu hari nanti. Apabila hidup mewah, anak-anak mula dibelai manja. Segala kehendak dan keinginan mereka segera dipenuhi oleh ibubapa tanpa banyak soal. Sayang anak la katakan. Nak cubit rasa salah, nak rotan bimbang anak merajuk. Itulah realiti dalam keluarga moden. Jadi, bagaimana hendak membentuk pemikiran anak-anak zaman sekarang. Mereka masih terlalu mentah dan tidak ‘kuat’ untuk mengalami alam perkahwinan yang memerlukan kecekalan dan kematangan yang betul-betul mantap. Nak beli rokok pun masih mintak duit mak bapak. Aduhai anak-anak sekarang.

Memang benar hasrat kerajaan negeri Melaka itu baik, menangani zina yang semakin berleluasa. Malah Ketua Menteri sendiri berkata, kahwin muda atau berzina? Ya! Saya setuju. Benar, kahwin itu mencegah zina. Dalam menangani masalah, kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari jalan penyelesaiannya. Mengapa ya? Sebabnya, bukankan Islam itu diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Islam sudah syumul semenjak 1400 tahun yang lalu. Tiada sedikit pun keraguan terhadap Islam. Begitu juga dengan masalah zina. Untuk mencegah zina, kita perlu kembali merujuk kepada kesyumulan Islam. Islam ada solution nya untuk mencegah zina. Dalam Islam, pasangan yang belum berkahwin akan dihukum dengan 100 sebatan tanpa sedikitpun timbul belas kasihan. Manakala bagi pasangan yang sedang ataupun telah berkahwin, akan dihukum dengan rejam sehingga mati. Malangnya sekali, Malaysia gagal atau tidak akan sesekali menjalankan hukum Allah itu. Hal ini kerana, perlembagaan dan undang-undang Malaysia masih terikat dan bertunjangkan sekularisme bertuhankan barat. Ingin saya ingatkan, saya tidak menyentuh isu politik ya. Cuma, ini hukum Allah. Hukum Allah tidak boleh dipengaruhi dengan politik dan nafsu. Andainya tidak boleh sekalipun, Islam ada prinsip syariahnya iaitu ‘prevention is better than cure’ atau ‘mencegah itu lebih baik dari merawat’. Dalam al-Quran, Allah ada menyebut jangan sesekali kamu mendekati zina. Diulang, MENDEKATI ZINA! Bukannya MELAKUKAN ZINA!


Maafkan saya, tetapi saya tetap ingin menyalahkan pihak kerajaan ataupun agensi-agensi kerajaan terhadap gejala zina ini. Buktinya, lambakan iklan-iklan yang berunsur lucah, filem-filem melayu yang diselitkan dengan cebisan babak pornografi, program-program hiburan realiti yang bersepah membolehkan pergaulan anak-anak muda bebas tanpa batasan. Artis-artis Malaysia tidak ketinggalan ‘menyumbang’ terhadap gejala zina ini. Etika pemakaian artis yang bertelanjang itu menjadi kebanggaan dan ikutan besar anak-anak muda. Mereka tidak malu malah berasa bangga pula menunjukkan ‘kehebatan’ badan masing-masing. Sungguh celaka lah mereka. Dimanakah peranan pihak kerajaan? Mereka sibuk melaungkan slogan ‘Kami Prihatin’, siap ada lagu tema lagi oleh artis-artis yang kononnya prihatin dan ingin membuat kerja-kerja amal. Huh!! Naik meluat saya dibuatnya. Logikkah, kita melarang orang untuk tidak melakukan sesuatu, tetapi dalam masa yang sama kita mempromosi pula malah menyokong pula perkara mungkar? Sebagai contohnya, Amin (bukan nama sebenar) melarang kawannya, Sufi (bukan nama sebenar) dari meminum arak, tetapi dalam masa yang sama Amin membuka gerai menjual arak kepada Sufi. Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawap. Anda sibuk menjalankan kempen, mencegah zina dan buang bayi dan macam-macam lagi, tetapi dalam masa yang sama anda lupa yang anda sibuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada penzinaan. Konsert ‘Jom Heboh’ salah satu daripadanya. Konsert yang langsung tidak memberi sedikit pun manfaat. Membazirkan wang rakyat dan berkonsepkan keuntungan peribadi, menjulang melangit budaya hedonism. Anda berada di pihak mana? Berhenti dari bersikap hipokrit! Jika benar anda mahu menjalankan kempen mencegah penularan zina ini, anda harus betul-betul ikhlas. Ikhlas yang saya maksudkan ini ialah, hentikan serta-merta ataupun berperingkat semua jenis hiburan yang berunsurkan maksiat dan melalaikan, percampuran lelaki perempuan tanpa batasan syariah, iklan-iklan yang menghairahkan dan lucah, babak-babak filem perlu ‘bersih’ dari sebarang bentuk pornografi atau keterlaluan walaupun hanya sekadar lakongan. Artis-artis perlu ‘diajar’ cara berpakaian yang lebih terhormat. Andai hati sudah keras sekalipun untuk menutup aurat dan ‘ingin’ menjaja aurat masing-masing, paling kurang sekalipun sedarlah yang anda itu beragama Islam.

Ini kata saya

Jodoh pertemuan itu ketentuan Allah s.w.t.. Manusia mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Jika kita ditentukan berkahwin dalam usia muda, mungkin itulah yang terbaik yang telah Allah tentukan untuk kita. Sebaliknya jika kita berkahwin dalam usia lanjut mungkin ada hikmah yang terkandung di dalamnya. Namun sebagai insan kita disuruh berikhtiar untuk mencari pasangan hidup yang memenuhi tuntutan agama. Kebanyakan remaja sekarang beranggapan kahwin pada usia muda banyak masalah. Berkemungkinan pada masa itu mereka belum ada kerjaya yang kukuh selain belum bersedia. Apabila sebut soal perkahwinan, apa yang pasti ia adalah satu sunah. Mengapa perlu menidakkannya? Tak kira pada usia berapa pun, kita perlu menegakkan sunah itu.

Perkahwinan adalah sesuatu yang indah... ibarat syurga di dunia jika kita bijak melayari bahtera perkahwinan. Perkahwinan adalah satu ibadah yang mulia seandainya kena pada caranya. Memang benar, perkahwinan bertujuan untuk menyalurkan nafsu ke jalan yang diredhai oleh Allah dalam erti kata lain, kita mengelak zina dengan cata berkahwin. Tetapi, apa yang saya nak tegaskan disini ialah, perkahwinan bukan hanya sekadar berlandaskan nafsu semata. Jangan kita berkahwin atas dasar nafsu, kelak ia akan memakan diri. Pendek kata, ikut nafsu lesu, ikut hati mati. Nasihat saya, berkahwin lah kita atas dasar redha dan rahmat Allah, iman dan taqwa yang kukuh, mengikuti sunnah Nabi Muhammad S.A.W. insya Allah ia akan kekal hingga ke syurga. nafsu perlu diperintah oleh kita, bukan kita yang diperintah oleh nafsu itu. nafsu perlu dibimbing dengan ajaran wahyu Allah supaya ia mudah dijinakkan.

saya merasakan, Tidak salah berkahwin pada usia muda asalkan semua keperluan dan persediaan sudah mencukupi. Hakikatnya perkahwinan pada usia muda bukanlah suatu yang mustahil, asalkan seseorang itu sanggup serta ikhlas memikul peranan dan tanggungjawab yang telah sedia ada.

“Tidak ada masalahnya perkahwinan yang dibina oleh pasangan yang sama-sama muda. Apa yang penting ialah bagaimana kita mengendalikan kehidupan berumah tangga itu sendiri.

Statistik kahwin awal

KETUA Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohammad Abdullah berkata, perkahwinan bawah umur di Malaysia banyak berlaku di Kelantan yang mencatatkan 115 kes, Sabah (102) dan Sarawak (100) bagi tempoh 1 Januari 2005 hingga 12 Januari 2006.

Bagi kes yang sudah selesai permohonan nikah bawah umur, Sarawak mendahului dengan 92 kes, Kelantan (81) dan Sabah (60).

“Perkahwinan bawah umur melibatkan sama ada lelaki atau perempuan yang berkahwin sebelum berusia 18 tahun dan 16 tahun iaitu syarat yang diletakkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam. Maknanya, mereka berkahwin semasa masih bersekolah atau tidak menamatkan persekolahan atau tidak bersekolah,” jelas Mohamad.

klick gambar untuk gambaran yang lebih jelas

Antara punca berlakunya kahwin bawah umur ialah pasangan suami isteri muda itu hilang minat dengan alam persekolahan dan mendapat bakal suami yang mampu menyara kehidupan mereka. Ramai remaja perempuan yang tidak meneruskan persekolahan memilih untuk berkahwin dan ia dipersetujui oleh ibu bapa.

Selain itu, remaja yang berasal dari kampung dan tinggal di pedalaman serta kurang pendedahan kepada kepentingan pendidikan turut menyumbang kepada perkahwinan bawah umur. Pada mereka perkahwinan adalah jalan untuk menyelamatkan mereka daripada masalah sedangkan cabaran pada masa hadapan memerlukan masyarakat yang celik ilmu pengetahuan.

“Oleh sebab yang berkahwin bawah umur adalah remaja perempuan, maka suami harus bertanggungjawab membimbing isteri dalam menguruskan rumah tangga. Kita perlu ingat, dalam usia yang muda, mereka belum mempunyai pengalaman yang cukup dan kematangan sebagai seorang isteri. Adalah penting suami memainkan peranan dalam rumah tangga,” ujar Mohamad menasihati pasangan muda yang mendirikan rumah tangga.

Klick gambar untuk gambaran yang lebih jelas

Walaupun hingga kini hanya 595 kes kahwin bawah umur dicatatkan di seluruh Malaysia termasuklah di negeri-negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor, dan ia hanya dianggap sebagai kes terpencil, tidak mustahil akan berlaku peningkatan perkahwinan bawah umur jika tiada usaha dijalankan untuk membendung perkara tersebut.

Hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat berilmu mungkin tidak akan tercapai jika masih ada remaja yang tercicir daripada alam persekolahan dan bergantung hidup semata-mata kepada perkahwinan.

Kesimpulan yang mudah

nasihat saya kepada kerajaan negeri Melaka

sebelum anda memutuskan untuk membuat sesuatu dasar, fikir lah dengan fikiran logik berlandaskan al-Quran & Hadith. jangan berfikir betunaskan nafsu dan hasutan syaitan. buat lah kajian yang lebih terperinci. jangan memperjudikan masa hadapan anak-anak muda di negeri anda sendiri. Jangan jadikan anak-anak muda ini sebagai bahan ujikaji anda. jangan meng'eksperimen'kan mereka. anda adalah pemimpin kepada rakyat je;lata di negeri sendiri. mesti ada baik buruknya. senaraikan.jika kesan baik itu lebih banyak dari kesan buruk, teruskan. just go on. kesan buruk itu perlu difikirkan cara lain untuk menanganinya. jika kesan buruk lebih banyak dari kesan baik, lebih baik anda lupakan sahaja niat anda itu. ingat, anda bertanggungjawap sepenuhnya diatas apa yang bakal terjadi kepada mereka.

nasihat saya kepada kerajaan Persekutuan

jangan jadi hipokrit. perbetulkan niat anda. saya tidak membenci anda. malah saya menyokong anda sepenuhnya tanpa sedikit pun keraguan. tapi kita tahu, tiada manusia yang sempurna. disebalik kehebatan dan keterampilan barisan kepimpinan anda. sudah pasti tercalit sedikit kecacatan lahirian dan fikriah. jika anda mahu gejala zina diatasi dan budaya buang bayi dihapuskan, mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. ingat! 1 dunia melihat anda. hapuskan budaya hedonisme terlebih dahulu. kawal aktiviti-aktiviti hiburan di negara ini. tegur dan beri lebih banyak perhatian dengan dunia artis yang banyak menyumbang kepada gejala sosial di negara ini. maafkan saya seandai saya terkasar bahasa, tetapi ini bukti saya sayangkan Malaysia. saya mahukan Malaysia bersih dari gejala zina dan buang bayi yang tidak berdosa. andai benar, Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara Islam. anda kena buktikan! jangan sekadar Islam hanya sekadar pada nama. tercatat pada perlembagaan sahaja, tetapi undang-undang kotor dan dicalit dengan najis sekularisme. adakah itu yang dinamakan sebagai negara Islam? masih menjadi tanda tanya....

Nak kahwin..ngeeee~
-CTR Muhammd Asyraf-

**p/s : Ahlan Wasahlan ya Aidil Mubarak. Selamat menunaikan ibadah puasa. Ramadhan bulan keampunan. Marilah kita memaafkan antara satu sama lain. Jadikan Ramadhan sebagai titik permulaan bagi kita untuk berubah menjadi seorang hamba yang lebih baik dari bulan-bulan sebelum ini. Insya Allah. Jangan asyik pikir nak raya plak ye...~,^

1 comments:

Perindu_Ilahi said...

panjang sgt.apaper pun thanks atas perkongsian ^_^