Assalamua'laikum...
Kemuliaan satu fitrah. Setiap insan yang waras semestinya menyukai kemuliaan. Tidak ada seorang pun yang sukakan kehinaan. Itulah fitrah semula jadi yang diwujudkan dalam diri seorang manusia. Walaupun kemuliaan itu sendiri adalah berbeza-beza maknanya daripada satu individu dengan individu yang lain, tetapi apa yang pasti, semuanya cintakan kemuliaan.
Mungkin kepada seorang pelajar, menjadi pelajar terbaik, adalah suatu kemuliaan baginya. Manakala bagi seorang rakyat, dianugerahkan pingat oleh seorang sultan itu merupakan kemuncak kemuliaan pula kepadanya. Seorang bapa mungkin berasa mulia, apabila anaknya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kemuliaan bagi seorang guru, mungkin apabila anak-anak muridnya menghormatinya dan berjaya dalam hidup mereka.
Sekali lagi diulangi, kemuliaan itu mungkin pelbagai erti dan definisinya kepada seseorang, namun yang pasti semua orang akan menyukainya. Bahkan, merupakan satu fakta, untuk mencapai apa yang dirasakan sebagai satu kemuliaan bagi seseorang itu, manusia hampir sanggup melakukan apa sahaja . segala daya usaha dan kesungguhan akan dikerah, keringat akan diperah hatta air mata dan darah pun sanggup ditumpahkan. Asalkan perkara yang dilihat sebagai satu kemuliaan itu akan dicapai.
Ironinya, demi mendapatkan kemuliaan, ada yang sanggup melakukan perkara yang hina lagi terkutuk. Ada yang sanggup membunuh, menipu, merasuah, menyihir dan menzalimi; asalkan matlamat utamanya adalah untuk menjadi orang yang mulia dan boleh membawa kemuliaan kepadanya tercapai. Apa yang diinginkan oleh hati akan menggerakkan akal bagi menyusun strategi dan cara untuk mendapatkannya lantas tubuh memberi tindak balas untuk merealisasikan hasratnya.
Islam khususnya Rasulullah s.a.w amat memahami struktur fitrah kejadiaan manusia. Maka kita dapati, Baginda telah menggunakan kaedah fada’il a’mal untuk membentuk dan mencerna hati para sahabat Baginda agar mempunyai sistem keimanan yang sahih dan utuh. Apabila sistem keimanan ini telah dibetulkan, maka pandangan mereka kepada alam ini juga akan menjadi betul. Di sini, para sahabat telah diasuh untuk menghubungkan kemuliaan mereka dengan makna kemuliaan mereka yang hakiki. Kemuliaan diperlukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal jantina, umur, kekayaan, mahupun pangkat. Kemuliaan yang akan kekal relevan definisinya hingga ke hari kiamat.
Menurut Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang bertajuk, Bidayatul Hidayah. Beliau menjelaskan bahawa kemuliaan setiap individu itu terbahagi kepada 4 jenis:
- Mulia disisi manusia tetapi hina pada pandangan Allah
- Hina disisi manusia bahkan hina juga pada pandangan Allah
- Mulia disisi Allah tetapi hina pada pandangan manusia
- Mulia disisi Allah bahkan mulia juga pada pandangan manusia
Beliau menjelaskan lagi, bahawa seburuk-buruk manusia adalah golongan yang berada dalam kategori no.2. Dan sebaik-baik manusia adalah yang berada dalam golongan no.4. Persoalannya sekarang ialah, apakah posisi kemuliaan anda sekarang ataupun, apakah jenis kemuliaan yang sedang anda cari?
Pada hemat saya, saya merasakan bahawa manusia akhir zaman ini, tidak sedikit pun menghiraukan kemuliaan pada pandangan Allah. Mereka lebih mengutamakan redha manusia semata-mata walaupun mereka sedar bahawa cara itu boleh mengundang kemurkaan Allah. Mereka hanya menilai kemuliaan itu atas definisi yang berlandaskan nafsu dan akal yang cetek, tanpa ilmu agama yang mencukupi. Hal ini, boleh mengakibatkan kesan-kesan negatif seperti yang telah pun berlaku sekarang ini seperti penyelewengan kuasa, penyalahgunaan dana kewangan dan pemerintahan kuku besi (diktator).
Hati para sahabat telah ditempa dengan dengan satu acuan, iaitu acuan “Sibghatullah”, celupan Allah. Mulia atau hina sesuatu perkara itu, neracanya hanya satu, iaitu redha atau murka Allah s.w.t. Apa yang dipandang mulia oleh Allah dan pembantuNya, Rasulullah s.a.w., itulah yang dipandang mulia oleh mereka.
Allah s.w.t. menegaskan, mafhumnya:
“sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghah-Nya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya lah kami menyembah.”(Surah al-Baqarah 2:138).
Dalam kitab Majma’ al-Zawaid, dinukilkan satu riwayat yang bersumber daripada Sulaiman al-Farisi r.a, daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya yang bermaksud:
“Sesiapa yang berwudhuk sejak dari rumahnya dengan memperelokkan wuduk itu, kemudian datang ke masjid, maka sesungguhnya dia adalah tetamu Allah. Dan menjadi tanggungjawab tuan rumah yang dikunjungi untuk memuliakan tetamu yang mengunjunginya.” (Riwayat al-Tabrani)
Inilah salah satu jalan untuk mencapai kemuliaan yang begitu tinggi darjatnya dan nilai pada pandangan Tuhan. Jalan yang begitu sederhana, tetapi nilainya begitu agung dan tinggi. Apakah ada sesuatu kemuliaan yang lebih tinggi melebihi dimuliakan oleh Allah Taala sendiri? Apakah mungkin seorang yang beriman dengan Allah Yang Maha Agung, berasa ada perkara lain yang lebih mulia daripada kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t sendiri?
Para sahabat telah memahami perkara ini, sehingga mereka telah berlumba-lumba untuk hadir ke masjid. Tidak berhenti setakat itu sahaja, mereka sanggup mengadakan undian untuk siapa yang lebih berhak untuk mendapat saf pertama. Hal ini kerana bagi meraih kemuliaan yang amat besar ini. Mereka tidak menunggu masa lapang untuk ke masjid, tetapi mereka melapangkan masa untuk masjid. Mereka dengan penuh keimanan mereka berada di sana.
Jika inilah kemuliaan yang dijanjikan untuk mereka yang pergi ke masjid, apakah kemuliaan yang akan dianugerahkan kepada mereka yang bersusah payah memujuk rayu manusia lain agar datang memakmurkan masjid? Perlu ditegaskan bahawa, masjid bukan semata-mata tempat berkumpulnya golongan tua beribadah, tetapi melahirkan generasi muda yang berakhlak adunan ad-Deen. Fikir-fikirkanlah… wallahua’lam
0 comments:
Post a Comment