Assalamua’laikum
Kata orang, jika sesuatu kerja hendak disiapkan, berikan kerja itu kepada orang yang sibuk. Betulkah begitu? Bunyi macam pelik. Tetapi realitinya benar sahaja. Ini kerana orang yang sibuk sahaja yang mampu menguruskan masa dengan baik. Orang sibuk dapat meletakkan keutamaan kepada kerja-kerja yang banyak, mana yang penting, mana yang segera.
Tetapi sebelum itu, soalan yang paling asas untuk ditanyakan kepada diri kita ialah sibuk untuk kita untuk apa? Sibuk atau penyibuk atau buat-buat sibuk? Sebagai Muslim, kita mesti sibuk untuk beribadah. Tidak kiralah ibadah asas, ibadah umum atau ibadah sunat. Atur sahaja aktiviti kita berdasarkan keutamaan dan kesegeraan dalam jenis-jenis ibadah itu, nescaya kesibukan kita berbaloi. Sibuk kerana Allah.
Untuk itu belajarlah tentang keutamaan dalam ibadah. Dapatkan buku Fiqh Aulawiyat nukilan Dr. Yusuf al-Qaradwi misalnya, banyak panduan yang praktikal di situ. Kita seharusnya berasa malu dengan para sahabat Rasulullah S.A.W. kuantiti masa yang diberikan kepada mereka dan kita sama sahaja, yakni 24 jam sehari semalam. Tetapi kualiti masa mereka terlalu jauh kalau hendak dibandingkan dengan umat Islam masa kini.
Masa mereka seolah-olahnya terlalu panjang…
Para sahabat Rasulullah bertebaran ke seluruh muka bumi menyebarkan Islam. ¾ daripada mereka meninggal dunia diluar Semenanjung Arab. Jejak dakwah dan jihad mereka sampai ke Eropah, India, China dan Asia tanpa kapal terbang, tanpa kemudahan ICT dan tanpa teknologi canggih seperti yang kita miliki. Masa mereka seolah-olah terlalu “banyak” dan “panjang” berbanding kita. Betulkah begitu?
Tidak! Hakikatnya umur kita seolah-olah menjadi lebih pendek akibat pembaziran masa. Bayangkan berapa banyak masa kita bazirkan, habiskan di hadapan TV, membeli-belah, berbual kosong atau melayari laman web yang tidak berfaedah? Cuba bandingkan pula dengan berapa banyak masa membaca al-Quran berbanding membaca koran (akhbar).
Kalau nak dikatakan sibuk, memang sibuk… ada antara kita yang sambil memandu atau menunggang motosikal masih sempat menghantar SMS. Menguyah makanan sambil berbual di telefon bimbit. Yang bekerja sehingga tidak sempat menziarahi ibu bapa di kampung. Mahasiswa atau pelajar di IPT dan IPTA “terlupa” menelefon ibu bapa… sibuk sangat laa katakan.
Manusia, makhluk yang diberi pilihan...
Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyibukkan kita. Ingat, musuh perkara yang “lebih penting” ialah perkara yang penting. Para sahabat sudah berasa berdosa jika mereka tersilap dalam memilih keutamaan dalam melakukan kebaikan khilaful ‘aula. Kekadang mereka merasakan begitu sukar memilih antara bersedekah dengan solat sunat, antara berdakwah dengan berniaga, antara berjihad dengan menuntut ilmu… antara yang baik itu, mana yang lebih baik mengikut masa, situasi dan kondisi.
Mereka cintakan Allah, mereka disibukkan kerana Allah. Dengar apa yang dirintihkan oleh Sayidina Umar al-Khattab, “Aku tidak tidur pada malam hari, bimbang urusanku dengan Allah tidak selesai. Aku juga tidak tidur pada siang hari takut urusanku dengan manusia tidak selesai.” Ertinya apa? Ya! Umar ialah individu yang paling sibuk sewaktu zaman pemerintahannya, memimpin umat Islam ketika itu.
Di tengah-tengah kekalutan dan keserabutan kita, kononnya terlalu sibuk, cuba “pause” sebentar. Renungi sebentar, dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sibukkan? Bimbang, kesibukkan kita ialah suatu ‘deraan’ yang kita cipta sendiri akibat membelakangkan cinta kita yang sepatutnya kita abadikan cinta itu terhadap Allah.
Stress, tension, pressure, boring… ialah jenis-jenis toksik dan virus baru untuk jiwa manusia moden yang meremehkan kekuasaan Allah. Cari semula pangkal jalan dan tujuan hidup. Tanyakan semula apa yang aku cari dengan hidup yang singkat ini. Ingat kata Imam Syafii, “Peredaran masa ialah suatu yang aneh… tetapi lebih aneh manusia yang melengahkannya.”
Dipengaruhi oleh ilham dari 2 makhluk Allah...
Syaitan. Musuh yang tidak pernah tidur. Makhluk yang tidak pernah putus asa. Malaikat. Pencatat setia setiap masa. Siapa temanmu dalam kesibukan waktu? Suara siapa yang berbisik di hatimu? Ilham daripada para malaikat atau was-was yang datang daripada syaitan. Kasih sayang Allah sesungguhnya masih sudi singgah di hatimu yang berdosa.
Kekadang “jemputan ke daerah kebaikan” singgah secara tiba-tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hatimu tiba-tiba berbisik, “Sampai bila aku harus begini…” kata hukama, “Apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Tuhan untuk datang ke daerah hassanah (kebaikan), maka segera lah kamu memenuhi jemputan Dia, lantas mengucapkan kalimah syukur!”. Selamat bermujahadah…
-Pengurus Masa Diri-
CTR Muhammad Asyraf
1 comments:
Alhamdulillah. satu lagi peringatan yang bagus mengenai masa.
Jazakallah Khair.
Assalamualaikum. :)
Post a Comment