Syukur Alhamdulillah kerana saya masih lagi diberi nafas dan peluang untuk terus menjalankan tanggungjawap saya sebagai hamba Allah untuk terus berdakwah diatas muka bumi ini. post kali ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk membincangkan 1 hadith yang boleh dikatakan agak popular dalam kalangan kita semua sebagai hamba Khaliq Nya.. tetapi sejauh mana kah kita memahami hadith tersebut. Usrah saya pada minggu ini membicarakan, membahaskan, dan membincangkan tentang hadith ini. pelbagai pandangan, pendapat dan idea yang telah diberikan oleh naqib dan sahabat-sahabat seusrah dengan saya. saya dengan sukacita ingin memaklumkan kepada para pembaca, bahawa hadith ini merupakan hadith sahih yang diriwayatkan oleh perawi mujbir dan diiktiraf oleh ulama'. sejujurnya, segala isi kandungan yang berkaitan dengan pendapat hadith ini merupakan pandangan peribadi saya berdasarkan cebisan-cebisan ilmu yang saya miliki, disamping sumber rujukan orang yang lebih arif mengenai hadith ini, rujukan utama umat Islam (Al-Quran & Hadith), dan pembacaan saya yang berkaitan dengan hadith-hadith yang berkaitan. sebarang masalah mengenai hadith ini, anda boleh lah bertanyakan terus melalui saya melalui ruangan komen yang telah disediakan, ataupun anda boleh bertanyakan kepada orang yang lebih arif dan pakar mengenai ilmu hadith.
.....................................................................................................
Maksud Hadith:
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Huraian mengenai asal-usul hadith ini:
Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية)
SYARAH HADITH OLEH DR. MUSTAFA AL-BUGHA DAN MUHYIDDIN MISTO
Kepentingan Hadith:
Sesungguhnya hadith ini adalah di antara hadith penting yang menjadi paksi kepada putaran Islam. Ia adalah asas kepada Islam. Kebanyakan hokum-hukam Islam bersandarkan kepada hadith ini. Ini jelas dapat dilihat daripada kata-kata para ulama’
Imam Abu Daud berkata: “Sesungguhnya hadith ini iaitu hadith bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat adalah separuh daripada Islam, kerana ad-din itu dua perkara, sama ada ianya perkara zahir iaitu amalan ataupun yang batin iaitu niat”
Sementara Imam Ahmad dan Imam Syafie pula berkata: “ Di dalam hadith ini (iaitu hadith “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat”) mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.” Kerana itulah para ulama’ suka memulakan kitab-kitab serta penulisan mereka dengan hadith ini. Imam Bukhari telah meletakkan hadith ini pada awal kitab sahihnya. Imam Nawawi juga telah memulakan ketiga-tiga kitabnya iaitu Riyadhus Sholihin, al-Azkaar dan al-Arba’uuna Hadiithan (Hadith Empat Puluh) dengan hadith ini.
Faedah pembukaan dengan hadith ini ialah sebagai peringatan kepada penuntut ilmu agar mrngikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah Taala di dalam menuntut ilmu dan melakukan amalan kebaikan.
Maksud Kalimah :
Al-Khafshu: Singa dan abu khufshin adalah gelaran kepada Saidini Umar bin al-Khattab
Innama: Bahawasanya. Ia adalah huruf hasr yang bertujuan untuk menisbatkan sesuatu yang disebut selepas daripada perkataan ini dan menafikan selainnya.
Binniyat: Jamak (plural) kepada niati. Maknanya dari segi bahasa ialah tujuan. Dari segi istilah pula ialah tujuan yang diserai dengan perbuatan.
Amrii: setiap orang. Iaitu semua insan sama ada lelaki mahupun perempuan.
Hijratuhu: Hijrahnya. Hijrah pada bahasa ialah meninggalkan. Dari segi syara’, hijrah ertinya berpindah dari Negara kafir ke Negara Islam kerana takutkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan hijrah di dalam hadith ini ialah perpindahan dari Mekah dan lainnya ke Madinah sebelum berlakunya pembukaan kota Mekah.
Ilallahi: kepada Allah, iaitu ke tempat yang diredhai oleh Allah Taala dengan niat dan tujuan yang diredhaiNYA.
Fahijratuhu ilallahi warasulihi: Maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan RasulNya. Maksudnya, hijrahnya itu diterima dan diberikan ganjaran. Lidunya yushibuha: kerana dunia yang akan diperolehinya. Maksudnya, kerana tujuan keduniaan yang ingin diperolehinya.
Jadi berdasarkan pandangan ulama' mengenai maksud hadith ini, saya dapat membuat kesimpulan bahawa :
Niat itu membawa maksud
Bahasa : Kehendak hati atau tujuan hati.
Istilah : Gerak hati melaksanakan sesuatu perkejaan dengan tujuan mencari keredhaan ALLAH s.w.t
Apa pula maksud hijrah?
Bahasa : Berpindah meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain.
Konteks Sejarah Islam : Perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawarrah untuk mengembangkan Islam.
Sebab Hadith ini Dilafazkan :
Imam at-Thabrani telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir dengan rantaian perawinya yang tsiqah, daripada Ibnu Mas’ud Radhiyallahuanhu beliau berkata: “Terdapat di kalangan kami, seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai ‘Penghijrah Ummu Qais’.
Kandungan Hadith :
1. Syarat Niat
Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (al-‘ibadatul maqshudah) seperti sembahyang, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.
Manakala ibadat tidak langsung, iaitu yang hanya menjadi wasilah seperti wudhuk dan mandi, maka ulama’ Mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama’ mazhab Syafi;e dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat langsung tidak sah kecuali disertai dengan niat.
2. Waktu niat dan tempatnya
Waktu niat ialah permulaan ibadat, seperti takbiratul ihram di dalam ibadat sembahyang dan ihram di dalam ibadat haji. Manakala di dalam ibadat puasa, memadai niat sebelum bermulanya puasa kerana kesukaran untuk memerhati fajar pagi.
Tempat niat ialah di hati, justeru itu tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Walaupun begitu, disunatkan berlafaz sebagai menolong hati untuk memudahkannya mengingati apa yang ingin diniatkan. Disyaratkan juga pada niat, menentukan perkara yang diniatkan dan membezakannya daripada perkara lain. Oleh itu tidak memadai bagi seseorang itu sekadar meniatkan sembahyang sahaja, bahkan mesti menentukan jenis sembahyang tersebut sama ada zohor atau asar dan seterusnya.
3. Berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh
Hadith ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh, tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti sakit, mati atau seumpamanya yang menghalang seseorang daripada melaksanakannya, maka dia diberi pahala berdasarkan niatnya itu.
4. Ikhlas di dalam amalan dan ibadat
Hadith ini juga membimbing kita supaya ikhlas di dalam amalan dan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat, juga mendapat taufik serta kejayaan di dunia.
5. Amalan yang bermanfaat
Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadat apabila disertai dengan niat dan keikhlasan serta menuntut keredhaan Allah s.w.t.
Antara pengajaran hadis:-
(1) Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara’, tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya’, menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.
(3) Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya.
(4) Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.
Bahan Rujukan:-
- Al-Quran.
- Hadith 40; Imam Nawawi.
- Buku Teks Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tingkatan 4.
hamba Allah yang hina..
CTR Muhammad Asyraf
1 comments:
bagusnyer post nih..=)..kita ada belajar dulu kan..xingt dlm pqs ke psi..em...dah lama tinggal..byk dah lupa..=(
Post a Comment