Pages

Wednesday, July 6, 2011

Solat Berkualiti Teras Jati Diri Insani

Assalamualaikum...

Pensyariatan solat kepada Rasulullah SAW pada peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj berbeza dengan konsep penerimaan wahyu menjelaskan kepada kita bahawa solat itu teras agung terhadap label seorang Muslim.

Bahkan dalam Islam, diserlahkan kekuatan solat itu sehingga diisytihar sebagai benteng kukuh yang mampu mencegah perbuatan maksiat. Malah ia sering disebut sebagai jaminan pasti bagi kita dalam menolak perbuatan fahsya’ dan mungkar.

Tokoh ulama dari Tunisia, Syeikh Tahir Ibn A’syur, dalam kitabnya Maqasid al-Syariah, menyatakan bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya.

Justeru, dalam persoalan solat juga ada manfaat tersendiri. Allah berfirman yang bermaksud:

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. {Surah al-Ankabut, ayat 45}

Ayat ini memberi kefahaman bahawa solat dapat menghindar perbuatan mungkar dan itulah yang kita fahami selama ini.

Namun realitinya, dari segi praktikal ramai yang tertanya-tanya kenapa masih lagi ada perbuatan mungkar dan maksiat sedangkan si pelaku solat seorang yang tidak meninggalkan solat. Bukankah kehidupan realiti ini menggambarkan seolah-olah ada percanggahan dengan yang dinyatakan dalam al-Quran.

Sebenarnya, maksud al-Quran itu langsung tidak bercanggah dengan realiti kehidupan manusia. Boleh jadi solat yang dilakukan kita tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki dalam mencegah diri daripada perbuatan mungkar.

Jadi tidak menghairankan apabila Nabi SAW meletakkan graf tertentu kepada pelaku solat. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Ada orang yang telah melaksanakan solat, tetapi ia hanya menerima sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah saja dari solatnya.” (Hadis hasan dari Ahmad, Abu Daud dan Ibn Hibban)

Solat bukan sekadar ibadah anggota badan saja tetapi ia adalah ibadah yang diteraskan dari hati sanubari seorang Muslim.

Disebabkan itu, Syeikh Muhammad Bayumi dalam kitabnya Akhta’ al-Musallin min Takbir ila Taslim menyatakan, orang yang hendak melakukan solat (iaitu sebelum solat) sudah semestinyaia tidak melakukan kejahatan dengan tangannya, tidak berkata kesat, tidak melihat yang diharamkan. Perbuatan hendak melakukan solat itu secara automatik akan membendung rasa inginkan kemungkaran.

Imam Ibn Kathir mensyaratkan tiga pokok asas solat iaitu, ikhlas, khasy-yah (takut) dan mengingati Allah. Ikhlas mengarah kita kepada perbuatan makruf, manakala khasy-yah (takut) pula menghalang daripada perbuatan mungkar.

Sebab itu, perbuatan solat secara zahirnya saja bukan penentu atau jaminan seseorang itu meninggalkan mungkar secara pasti. Walaupun ayat ini menyatakan demikian, namun ayat al-Quran perlu diteliti secara keseluruhan.

Boleh jadi solat dilakukan tanpa khusyuk, sambil lewa, malas bila mendirikannya, solat dalam keadaan tergesa-gesa malah mungkin dilakukan semata-mata untuk berpura-pura menunjukkan kehebatan diri atau dalam erti kata lain bermaksud riak.

Dalam al-Quran diceritakan bagaimana mungkin perbuatan mungkar mampu ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata, sedangkan dalam ayat lain, Allah menyatakan kemurkaan kepada orang yang solat. Firmannya:

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (4) (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (5) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), (6) Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). {Surah al-Ma’un, ayat 4-6.}


Ibnu Abbas memberi gambaran yang dimaksudkan orang yang celaka ialah mereka mengerjakan solat ketika dikhalayak orang ramai dan tidak mengerjakannya ketika ia dalam keadaan bersendirian.

Begitu juga mereka yang lalai mengerjakan solat pada waktu yang ditetapkan (solat di awal waktu) dan sengaja melewat-lewatkan solat tanpa sebab yang munasabah adalah dikategorikan sebagai salah seorang dalam golongan munafik! Nau’zubilllah…

Bukan semua solat yang dikerjakan menghindarkan dirinya daripada melakukan perbuatan mungkar kerana mereka yang solat juga ada yang berpura-pura seperti Abdullah bin Ubai bin Salul sendiri pernah solat di belakang Bagina Rasulullah SAW.

Justeru, amalan solat berdasarkan berdasarkan hadis sahih mengikut tatacara solat Nabi perlu dipelajari supaya solat tidak ditolak Allah hanya kerana kejahilan memahami sunnah. Wallahualam…




'Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Ash hadu an la ilaha illal lah, ash hadu an la ilaha illal lah,
Ash hadu an-na Muhammadar resulul-lah, Ash hadu an-na Muhammadar rasulul-lah, hayya 'alas, salah, hayya 'alas salah,
hayya 'alal falah, hayya 'alal-falah Allahu Akbar; Allahu Akbar, La ilaha illal lah.'


(hayati & fahami video ini)

Pedoman: pernah tak selepas setiap kali solat kita berdoa memohon supaya Allah menerima ibadah solat kita dan meminta supaya solat yang didirikan itu memberi manfaat kepada kita untuk urusan-urusan harian? Kalau ‘ya’ jawapannya, baguslah. Harap dijadikan amalan. Kalau ‘tidak’, mungkin anda perlu menambah baik (upgrade) doa anda, selitkan sekali dalam doa anda. Insya Allah, Allah suka mendengar rayuan hambanya. Allah itu kan Maha Mendegar dan Maha Memakbulkan Doa. Amin…

Tetamu Jeddah, Makkah & Madinah
-Asyraf Hernandez-

0 comments: