Assalamualaikum…
“Saya bukan nak mengumpat, tetapi perkara yang saya sebut ni, memang benar-benar berlaku! Saya lihatnya sendiri.”
“Malaslah nak dengar ceramah ustaz tu, asyik mengumpat orang aje.”
“Hari ni saya berpuasa, jadi saya tidak mahu join kamu mengumpat.”
Dan pelbagai lagi ungkapan yang sering didengari berkaitan dengan mengumpat. Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengumpat? Adakah dikira mengumpat sekiranya apa yang diceritakan itu benar-benar berlaku? Adakah wujud istilah mengumpat yang diharuskan?
Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 2589), Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat: “Adakah kamu apa makna mengumpat?” Para sahabat menjawap: “Allah dan Rasul Nya lebih mengetahui.” Rasulullah s.a.w. menjelaskan yang bermaksud: “Kamu menceritakan sesuatu tentang saudaramu yang dia marah (sekiranya dia mengetahui).” Sahabat bertanya: “Sekiranya apa yang saya sebutkan itu benar-benar wujud (berlaku), adakah dikira mengumpat juga?” Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Sekiranya apa yang kamu ceritakan itu benar-benar wujud (berlaku), maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya.”
Takrif mengumpat
Hadis ini memberi penjelasan yang lengkap tentang tentag mengumpat. Bolehlah disimpulkan bahawa mengumpat atau ghibah ialah perbuatan menceritakan sesuatu yang benar-benar wujud (berlaku) tentang seseorang yang sekiranya ia mengetahui, ia pasti akan marah. Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi menyediakan takrif yang terperinci tentang mengumpat iaitu:
“Kamu menyebut tentang saudaramu lalu ia memarahinya sama ada perkara tersebut berkaitan dengan tubuh badan, agama, dunia, diri, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan bergerak, senyuman, masam wajah dan segala-galanya yang berkaitan dengan dirinya sama ada dengan cara menyebut, menulis, isyarat mata, kepala dan sebagainya.”
Mungkin saya boleh menambah, termasuk juga yang menulisnya di blog, Facebook dan pelbagai mekanisme moden sekarang. Imam al-Nawawi juga mengingatkan kita bahawa mendengar umpatan juga hukumnya haram. Apabila seseorang mendengar saudaranya mengumpat, maka ia wajib melarangnya kerana hal ini sebahagian daripada mencegah maksiat. Selain itu, kewajipan untk mencegahnya jika tidak membawa sebarang kemudaratan atau berusaha menukar tajuk perbualan. Sekiranya tidak mampu, ia mestilah meninggalkan tempat tersebut atau membencinya dalam hati.
Burger Daging Manusia
Sanggupkah seseorang makan sekiranya diberitahu bahawa burger yang ada ditangannya dibuat daripada daging manusia yang telah mati? Manusia normal secara pastinya dengan penuh jijik ia akan menolaknya. Demikian Allah membuat perumpamaan dalam al-Quran bahawa mengumpat itu umpama seseorang memakan daging saudaranya yang telah mati. (Surah al-Hujurat 49: 12)
Bahkan ketika peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w. diperlihatkan suatu situasi yang sangat mengerikan iaitu satu kaum yang memiliki kuku daripada tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri. Lalu baginda bertanya kepada Jibrail: “Siapakah mereka itu?” Jibrail menjawap: “Mereka ialah umatmu dimana ketika di dunia mereka suka memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain,” (Riwayat Abu Daud no.4235)
Berdasarkan perumpamaan ini, para ulama menyimpulkan bahawa hukum mengumpat adalah haram dan termasuk dosa besar yang menuntut pelakunya melakukan taubat yang khusus berserta memohon kemaafan daripada orang yang diumpatnya.
(klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa besar. Manusia sebegini telah ditutup pintu hatinya daripada menerima hidayah Allah apabila hatinya telahpun menjadi keras dan hitam kerana hambanya yang berterusan melakukan dosa (fasiq). Kesannya adalah manusia sebegini tidak pernah rasa menyesal apabila mengumpat malah berasa seronok pula mengumpat orang lain. Tambahan pula, dia tidak pernah rasa tenang hidupnya kerana aktiviti hariannya adalah mencari kesalahan orang lain untuk dijadikan sebagai topik mengumpat hari ini. Wanau’zubillah…
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan dirinya.
Sabda Rasulullah S.A.W. "wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat.
Inilah orang yang muflis di akhirat nanti.
Enam jenis umpatan yang diharuskan
Dalam kitab Ihya’ Ulum al’Din, setelah Imam al-Ghazali membicarakan secara panjang lebar berkenaan larangan dan sebab-sebab manusia mengumpat. Dikatakan juga enam keuzuran (situasi) yang mengharuskan mengumpat, iaitu:
- Mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku.
- Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut. (bahkan ada kalanya pendedahan ini menjadi wajib apabila kemungkaran yang berlaku melibatkan ancaman kepada aqidah dan masa depan generasi akan datang – penulis)
- Meminta fatwa daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah s.a.w. tentang suaminya yang kedekut.
- Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang seperti mendedahkan kejahatan seorang hamba yang bakal dibeli (dalam konteks situasi semasa ialah pekerja) dan seseorang yang ingin diserahkan amanah kepadanya. Demikian juga seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya sekiranya ada. Terdapat tiga golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka maka ia tidak dikira mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bidaah dan seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan.
- Memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya sepert tempang, buta dan sebagainya.
- Seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan. Seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika melakukannya secara bersembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.
(klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)
Walau bagaimanapun, enam situasi ini mestilah dikawal dengan kaedah “al-dararu tuqaddaru bi qadariha” yang bermaksud, setiap perkara darurat hanya mengharuskan sesuatu yang dilarang sekadar yang diperlukan untuk mengatasi darurat itu sahaja. Ini bermakna sekiranya tidak disebut nama seseorang, maka itu lebih baik. Tetapi sekiranya tidak disebut secara khusus menyebabkan situasi tersebut tidak dapat diatasi atau diselesaikan, maka bolehlah disebut nama. Perbuatan itu masih lagi dikira mengumpat, tetapi hukumnya harus.
Wallauhualam…
(klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)
Pedoman: orang yang mengumpat selalunya adalah orang yang suka mengintip atau mencari kesalahan orang lain. Dia merasakan dirinya terlalu sempurna, maksum, bersih dan suci daripada melakukan dosa. Dia menganggap dirinya lebih baik daripada orang yang diumpatnya itu. Disebabkan itu, Allah menutup pintu hatinya daripada menerima hidayah Allah. Sebab itulah, orang yang sentiasa mengumpat ini selalunya susah untuk ditegur apatah lagi untuk mengubah sikapnya itu. Disebabkan dia begitu asyik sekali mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain dia seolah-olah begitu ‘sibuk’ sekali untuk mencari kesilapan diri sendiri terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan bahawa, terdapat juga rakan-rakan yang kita anggapnya sebagai kawan yang boleh dipercayai tetapi merekalah yang menikam belakang kita tanpa kita sedari. Bila mereka berhadapan dengan kita, mereka berpura-pura menjadi baik tetapi dibelakang kita merekalah yang paling rancak sekali mengumpat kita. Inilah orang hipokrit yang kita cari-cari selama ini. Patutkah mereka digelar sebagai kawan? Fikir-fikirkanlah. Teguran penulis mungkin terlalu ‘kasar’ bagi pembaca tetapi penulis merasakan inilah satu-satunya cara untuk menegur para pengumpat diluar sana itu. Penulis sentiasa mendoakan bahawa kita semua termasuklah diri penulis sendiri supaya dilindungi daripada dosa mengumpat. Ameen.
0 comments:
Post a Comment