Assalamualaikum…
Kita perlu meneliti kembali pendekatan mengajar subjek-subjek agama sama ada dalam sistem pendidikan formal ataupun tidak formal. Adakah subjek agama itu telah disusun mengikut keutamaannya? Dan adakah isinya sekadar mengandungi fakta-fakta yang bersifat ilmiah tetapi gersang daripada roh tarbiah?
Misalnya solat, perkara yang dititikberatkan hanya aspek makna, rukun dan syaratnya sahaja tanpa menitikberatkan solat dari sudut penghayatan dan “rasa” yang mana makna dan maksud rukun fi’li, qauli dan qalbinya diperincikan dengan cara yang menyentuh jiwa. Tambahan lagi, subjek seperti solat perlu dikaitkan dengan dengan pembinaan sistem keyakinan (belief), anjakan paradigma, pembentukan nilai, pembentukan karakter dan sikap seseorang.
Maksudnya, kita perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memberi nafas baru dalam mata pelajaran solat agar para pelajar dapat merasai kepentingan berhubung secara terus dengan Penciptanya.
Penyusunan pelajaran rukun iman dan rukun Islam yang merupakan teras pembangunan dan sahsiah peribadi mestilah menekankan kepada mekanisme dan proses bagaimana kedua-duanya boleh membentuk keyakinan, nilai dan paradigma seterusnya tingkah laku manusia.
Jangan hanya menyenaraikan kesan dan hasil yang akan didapati sahaja kerana kesan akan berlaku secara automatik apabila mekanismanya dilaksanakan dengan tepat dan baik. Misalnya, bagaimanakah “percaya kepada Allah” boleh menimbulkan rasa takut dan cinta kepada-Nya? Ini perlu dijelaskan kepada para pelajar. Ini adalah soal “rasa” dan amaliah bukan lagi bertaraf fikrah dan ilmiah.
Kita tidak mahu para pelajar hanya pandai menghafal rukun Islam sepertimana mereka menghafal formula matematik dan sains sahaja. Subjek agama mesti mampu menyentuh “conscious mind” dan “subconscious mind” para pelajar, barulah ia akan berjaya menanam nilai-nilai positif seterusnya membentuk karekter.
Rasanya masih ada ruang bagi membuat peningkatan dalam subjek agama Islam terutamanya dari segi aspek falsafah dan penghayatannya. Aspek ritual dan terlalu berorientasikan peperiksaan yang ditekankan selama ini kurang relevan untuk melahirkan para pelajar yang benar-benar dinamik dan progresif keislamannya.
Sudah sampai masanya mata pelajaran agama Islam disusun dengan menekankan aspek “substance” dan berorientasikan penghayatan dan amalan. Allah telah menjamin bahawa solat akan mencegah seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Jadi tentulah ada yang tidak kena dengan solat kita jika kejahatan dan kemungkaran masih berleluasa dan berterusan melakukan maksiat, walaupun kita masih tidak pernah meninggalkan solat.
Tegasnya, subjek agama kadangkala bersifat umum dan hanya berjaya memberikan pengetahuan, tetapi tidak kemahuan dan kemampuan bagi melaksanakan ajaran-ajaran itu. Oleh itu tidak hairanlah, ada pelajar yang berjaya mencapai kelulusan yang cemerlang dalam mata pelajaran agama tetapi mereka tidak sembahyang!
Para remaja kita memang kekeringan “chemical substance” dalam kefahaman Islam mereka. Kalau orang bukan Islam bertanya mengapa umat Islam terlalu banyak “membuang masa” untuk solat lima waktu sehari semalam, apakah jawapannya? Malangnya, ramai remaja yang tidak dapat memberikan jawapan yang tepat malah tidak memuaskan hati si penyoal pula. Kekadang mereka hanya tahu aspek “how” dalam solat (yang merangkumi soal rukun, sah dan batalnya) tetapi tidak tahu aspek “why” dalam amalan itu.
Apabila ada cabaran, barulah mereka sedar bahawa mata pelajaran agama yang diajar selama ini belum begitu bersedia dan mencukupi untuk berhadapan dengan sikap “rational thinking” pemikiran saintifik dan komprehensif manusia moden yang lebih berani, liar dan bebas. Itu baru soal solat. Bagaimana pula nanti jika soal ketuhanan, akhlak, menutup aurat dan munakahat (perundangan Islam) turut dipersoalkan?
Corak pembelajaran agama sepatutnya dijalankan secara “adult learning” yakni menekankan terlebih dahulu akan keperluan mata pelajaran itu dipelajari. Hanya apabila terasa keperluannya, maka barulah timbul keghairahan untuk mempelajari sesuatu. Untuk itu, ilmu agama mestilah “dibawa” kepada para pelajar, bukan pelajar yang “dibawa” kepada mata pelajaran itu. Berilah peluang kepada para remaja mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan pengalaman hidup mereka sehari-hari.
Dengan cara ini barulah mereka akan nampak perkaitan antara Islam dengan kehidupan, sekaligus meyakini bahawa Islam ialah cara hidup (way of life) yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Adalah lebih berkesan jika penyampaian ilmu agama dapat menunjukkan perkaitan antara sains dengan tauhid, metematik dengan fiqah, ekonomi dengan akhlak dan lain-lain. Wallahua’lam…
Pedoman: ramai muslim gagal memahami apatah lagi menghayati makna yang tersirat disebalik solat yang mereka lakukan. Kesan dari itu, maka lahirlah muslim yang rendah kualitinya, tidak selari dengan tuntutan syariat. Buktinya, orang muslim kini menunaikan solat tetapi masih melakukan maksiat (berzina, membuka aurat, mencuri, merasuah, pergaulan bebas, berdusta, dll). Jadi, apakah makna solat pada pandangan mereka? Adakah mereka bersolat hanya semata-mata menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim kerana itu adalah perintah Allah? mengapa mereka tidak mengambil hikmah dan ib'rah solat? Realitinya umat Islam masa kini hanya menunaikan solat bukannya mendirikan solat sepertimana yang termaktub di dalam al-Quran….
0 comments:
Post a Comment