Assalamualaikum dan salam ramadhan kareem...
Menggali Harta Karun
Seorang ayah yang sedang nazak berwasiat kepada anak-anaknya: “Jika ayah meninggal dunia, hendaklah kamu bertiga bersihkan tanah hutan milik kita di belakang rumah ini. Carilah di dalamnya harta karun yang selama ini ayah simpan untuk kamu.”
Spontan anak yang sulung bertanya: “Bolehkah ayah beritahu secara tepat lokasi harta karun itu?”
Si ayah hanya menggeleng-geleng kepala.
“Bang, tak payahlah kita paksa ayah. Ayah kan tenat…” kata anak bongsu.
“Eh, kau ni! Bukan senang nak bersihkan kawasan seluas itu. Kalau ayah dapat beritahu tempatnya, kan lebih senang? Sampuk anak kedua.
Tidak lama kemudian ayah mereka meninggal dunia.
Tanpa melengahkan masa, kedua-dua anak sulung dan anak kedua terus menebas kawasan hutan dan menggali di tempat-tempat yang mereka rasa terdapatnya harta karun yang dimaksudkan itu. Setelah lama menebas dan menggali, harta karun masih tidak dapat ditemui.
“Ah, mana ada harta? Agaknya ayah bercakap dalam keadaan buang tabiat ke…” kata anak sulung.
“Mungkin ayah dah tak berapa waras lagi ketika memberi wasiat kepada kita di ketika itu.”
Mendengar kata-kata tidak sopan abang-abangnya, si adik bongsu berkata, “Kita kenal ayah. Kata-kata ayah selalu benar. Tidak mungkin ayah hendak menipu kita.”
“Baiklah kalau kau percaya sangat, kau seorang sahajalah tebas hutan ni dan teruskan menggali,” ujar abangnya.
Si adik bongsu menyambung kerja menebas dan menggali tanah itu menjadi terang dan gembur.
“Macam mana, dah jumpa harta karun ke?” Tanya abang-abangnya dengan nada mengejek.
Namun si adik bongsu tetap yakin bahawa ayahnya bercakap benar. Tidak mungkin ayahnya bercakap bohong. Cuma apakah hakikat sebenarnya yang dimaksudkan ayah?
Lama-kelamaan, si anak sulung dan anak kedua pergi meninggalkan kampung untuk mencari penghidupan di kota. Mereka kecewa kerana mengharap harta karun yang tidak wujud. Tanah itu mereka serah sepenuhnya kepada adik bongsu mereka.
Melihat tanah kosong yang telah diterangi itu, timbul idea dalam benak si anak bongsu untuk bercucuk tanam. Dia mulai dengan menanam jagung, kacang dan sayur-sayuran, yakni yang cepat mendatangkan hasil. Hasil tanamannya dijual dan mendapat sedikit keuntungan.
Setelah mengumpul agak banyak modal, tanah itu ditanam pula dengan pokok buah-buahan.
Beberapa waktu kemudian, ladang buah-buahannya mengeluarkan hasil yang agak lumayan. Di samping menjadi pembekal sayur, kacang dan jagung, dia kini menjadi pengeluar buah-buahan yang sangat besar. Dalam beberapa tahun, dia kini menjadi usahawan yang maju dan kaya.
Kini barulah dia faham apa yang dimaksudkan oleh ayahnya mengenai harta karun yang tertanam di kawasan hutan di belakang rumah mereka.
Ayahnya tahu rahsia kerajinan, ketabahan dan sikap tidak berputus asa dalam berusaha. Inilah harta karun yang dimaksudkan oleh ayahnya dulu.
Biar Bersusah-Payah Dahulu…
Anda mungkin sudah terbiasa mendengar atau membaca cerpen seperti di atas. Tetapi sejauh manakah anda memahami jalan ceritanya? Dalam hidup ini, hendak mencapai sesuatu kejayaan tiada jalan pantas (shortcut). Jalan menuju kejayaan mesti menempuhi banyak kepayahan dan pengorbanan.
Hendak mengejar pangkat, perlu berusaha lebih dan tingkatkan prestasi. Hendakkan segulung ijazah perlu gigih dan bersungguh-sungguh belajar. Hendak memburu kekayaan harta perlu rajin mencari peluang untuk merealisasikan cita-cita. Bagaikan mengejar mutiara di lautan, terpaksa menyelam ke laut dalam yang bergelora yang penuh dengan bahaya.
Ketika salah seorang anak saudara saya mendapat tawaran ke kolej matrikulasi, hatinya berbelah bagi sama ada hendak menerima atau menolak, kerana dalam masa yang sama dia juga mendapat tawaran memasuki IPTA dalam jurusan diploma. Lalu saya bertanya berkenaan alasannya menolak tawaran ke matrikulasi. Bukankah ia jalan pintas untuk mendapatkan ijazah tanpa perlu mengambil diploma?
Buang Tanggapan Negatif
“Orang kata pelajaran di matrikulasi susah nak skor. Ramai kawan Ina menolak tawaran itu, sebaliknya memilih ambil diploma.”
“Jadi kamu ni hendak ikut apa orang kata ya? Kenapa tak cuba dulu? Tiada perkara yang senang dalam dunia ini. Bukankah kita ada Allah s.w.t. yang akan membantu jika kita berusaha?”
Begitulah dengan sikap kebanyakan orang kita yang lebih suka mendengar kata orang daripada mencuba dan berusaha. Sepatutnya jangan peduli sangat apa kata orang. Jangan akhirnya kita memilih sesuatu yang senang hanya kerana kita tidak mahu merasakan kesusahan dan cabaran. Akibatnya terjadilah lambakan penganggur yang susah mendapat pekerjaan.
Kurang Percaya Kepada Allah s.w.t.
Di manakah keyakinan kita kepada Allah s.w.t bahawa Dia al-Razzaq iaitu Maha Memberi Rezeki. Yakinlah bahawa Allah s.w.t. telah menjamin dan menentukan rezeki setiap anak Adam. Cuma kita dituntut supaya berusaha dan membuat sesuatu dengan sebaik-baik pelaksanaan.
Jika awal-awal lagi kita sudah menolak sesuatu peluang kerana takutkan kesusahan, orang lain pula berebut-rebut mengambil peluang dan ruang tersebut. Siapa cepat, dia yang dapat!
Saya kagum dengan kisah seorang ibu tua berusia 60 tahun yang kini menetap di Sumatera. Oleh kerana anak-anak sudah besar dan berkahwin, ibu tua ini mempunyai banyak masa lapang. Suaminya pula sudah lama meninggal dunia. Bagi mengisi masa lapang, dia akan menghafal ayat-ayat al-Quran setiap hari.
(click image untuk gambaran yang lebih jelas)
Kerja menghafaz memang memerlukan banyak kesabaran dan semangat yang tinggi. Walaupun sehari ibu tua tadi hanya dapat menghafal tiga hingga lima ayat sahaja, namun akhirnya dalam masa lima tahun beliau telah berjaya menghafal seluruh al-Quran. Biarpun lambat, tetapi usahanya membuahkan kejayaan. Bukan mudah untuk menghafaz jika sudah mencecah usia sedemikian; sedikit ingat banyak yang lupa. Namun faktor kejayaan sebenarnya ialah keyakinan dan berusaha. Rajin, gigih dan konsisten adalah ramuan herba kejayaan yang terbaik.
Sahabat-sahabat Saya Yang Dikasihi.
Tetapkanlah maklumat yang kita ingin capai dalam hidup ini. Fikirkan masa depan yang cemerlang, kita akan menjadi apa yang kita selalu fikirkan.
Berpegang teguh pada ajaran al-Quran dan as-Sunnah supaya kita tidak terpesong jauh daripada landasan Islam. Bersabarlah dengan setiap kesusahan, kegagalan atau rintangannya kerana Allah s.w.t akan memberikan ganjaran kepada orang yang bersabar. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
(click image untuk gambaran yang lebih jelas)
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah 2: 155)
Cabarlah, paksalah diri untuk melakukan yang tebaik. Misalnya lebih banyak membaca, bijak mengurus masa, solat pada awal waktu, bijak menyusun strategi, lebih berdisiplin dan sebagainya. Jika gagal, carilah kelemahan sendiri dan seterusnya memperbaikinya. Usah menuding jari dan menyalahkan orang lain, kerana kesilapan selalunya bermula dari diri sendiri. Jangan sesekali kita berputus asa kerana itu adalah penyakit orang gagal. Belajarlah daripada pengalaman orang yang telah berjaya. Sebenarnya orang yang hendak berjaya, tiada istilah gagal dalam kamus hidup mereka yang ada hanyalah istilah rempah ratus untuk menuju ke puncak kejayaan. Kerana mereka begitu positif, gagal adalah perkara negatif. Jadi, tidak patut mereka membiarkan wujudnya elemen-elemen negatif bermaharajalela dalam diri mereka. Kerana ia ibarat virus yang boleh melemahkan prinsip dan semangat mereka. Di kala anda semangat anda lemah, ingat lah kembali apa matlamat sebenar anda menceburkan diri dalam sesuatu bidang.
Pelajari Sirah Nabi S.A.W
Pernah anda berfikir sejenak, mengambil iktibar, bertanyakan kepada diri sendiri, apakah yang terjadi kepada diri sekiranya Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a berputus-asa ketika menyebarkan dakwah islamiah? Pernahkah anda terfikir juga, mengapa insan semulia Baginda, kekasih Allah yang dijamin masuk syurga melalui begitu banyak sekali rintangan, cabaran dan tentangan dari kaum kafir Quraish ketika Baginda menyampaikan dakwah? Sedangkan Baginda adalah insan terpilih yang disayangi makhluk di langit dan di dunia. Mengapa Allah tidak memberi jalan yang mudah untuk Kekasih-Nya menyebarkan dakwah kepada umatnya? Rasulullah sendiri pernah dicerca malah dituduh ahli sihir, pendusta, dibaling batu sehingga berkocak darah Baginda di dalam kasutnya, diletakkan najis unta ke atas belakang ketika Baginda solat dihadapan ka’bah dan pelbagai lagi perbuatan yang dilakukan oleh kaum kafir untuk menyakiti Rasulullah tetapi Rasulullah tidak pernah berputus asa untuk berdakwah kepada kaumnya.
Baginda begitu optimis, berfikiran jauh dan yakin bahawa usahanya tidak sesekali mendatang kerugian malah akan memberi manfaat kepada umat manusia sehingga ke hari kiamat. Rasulullah melalui fasa-fasa kepahitan ketika menyampaikan risalah tauhid selama tempoh 23 tahun. 13 tahun di Mekkah (3 tahun secara sembunyi + 10 tahun secara terbuka) dan 10 tahun di Madinah. Dan lihatlah hasil pengorbanan, perit jerih, dan jatuh sakit Rasulullah di ketika ini. Pengorbanan Rasulullah telah memberi impak yang begitu luar biasa pada zaman sekarang. Sehingga kini, nama Baginda tersohor di seluruh pelusuk dunia, sehinggakan nama Baginda tersenarai dalam ranking pertama dalam “Top 100 The Most Powerful People in Century”.
Generasi masa kini turut merasai manisnya iman bertauhidkan Allah. Lihatlah, renunglah serta perhatilah dengan mata hati tentang pengorbanan yang Rasulullah dan para sahabat berikan. Sesungguhnya pengorbanan dan jasa mereka tidak sia-sia dan rugilah kepada mereka yang tidak menghargai malah mempersia-siakan peluang untuk merasai indahnya bertuhankan Allah.
Pendek kata, bersusah-payah dahulu bersenang-lenang kemudian. Semoga kesusahan atau kepayahan yang dihadapi hari ini menjadikan kita insan yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Dengan semangat juang itulah kita akan menjadi orang yang berjaya.
I Will Be The Next Millionaire!!!
Muhammad Asyraf Hernandez
Pedoman: tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Semuanya perlukan usaha dan kesabaran. Jika kita berusaha dengan seluruh tenaga dan kemampuan diri, kita akan melihat ruang dan peluang sentiasa ada untuk dicapai. Tetapkan matlamat anda. Pastikan ia jelas dan berusaha untuk menuju kearah untuk merealisasikan matlamat itu. Matlamat itu perlulah selari dengan usaha dan kemampuan anda. Yakinlah dengan kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Usah menanam tebu di tepi bibir apatah lagi hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jangan sesekali berputus asa, kerana putus asa bukanlah budaya orang mukmin kerana mereka tahu bahawa berputus asa dengan rahmat Allah itu kufur hukumnya… wallahua'lam. selamat berpuasa di bulan yang penuh dengan barakah. jumpa lagi. maa's salamaah wailal liqa'. assalamualaikum~