Pages

Wednesday, November 17, 2010

Detik 10 Zulhijjah...


Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian..

Kaifahalukum jamia’an? Mudah-mudahan anda semua sihat-sihat belaka dan senantiasa dinaungi rahmat dan hidayah Allah Rabbul A’lamin..

Wah..!! lamanya saya tak update blog neh. Tu laa pasal, orang nak buat blog, dia pun nak buat jugak. Lepas tu, orang update blog, dia plak tak update-update blog lagi. Padan muka saya..hehe. :P

Emmph. Lama kan. Hampir 3 bulan saya tak kemas kini blog saya. Kawan-kawan pula asyik bertanya kepada saya, “bila lah ko nak update blog ko tu? Setiap kali aku buka, xde perubahan pun. Sama je. Jangan la melepaskan batuk ditangga, sahabat.” Nasihat mereka kepada saya. Haa.!! Padan muka saya sekali lagi, kan dah kena sound. Hohoho ( jangan lah marah saya T_T )

Memandangkan hari ini, kita semua warga muslim di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha, saya nak menceritakan serba sedikit tentang perayaan agung dalam Islam ini yang disambut pada 10, 11, 12, dan 13 zulhijjah tahun Hijrah pada setiap tahun.

Definisi Korban


Menurut Syeikh ’Abdul ’Azhim Badawi dalam al-Wajîz fî Fiqhis Sunnah (hal. 402), maknanya adalah :

“Haiwan ternak yang disembelih pada hari nahar (kurban) dan hari-hari tasyrik dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.”



Di dalam al-Mausū’ah al-Fiqhîyah, dikatakan :

“Haiwan yang disembelih dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala pada hari nahar dengan syarat-syarat yang khusus. Tidaklah termasuk udhhiyah haiwan yang disembelih tidak untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala, seperti haiwan sembelihan yang disembelih untuk dijual, atau dimakan, ataupun untuk memuliakan tamu.Dan tidak termasuk udhhiyah pula haiwan yang disembelih selain pada hari-hari ini (iaitu hari nahar dan tasyriq) walaupun disembelih dengan tujuan taqorrub kepada Allah Ta'ala.”

Secara bahasa al-Udhhiyah berasal dari kata dhuha yang ertinya pagi, dinamakan demikian kerana Baginda biasanya menyembelih haiwan korban pada waktu Dhuha (antara waktu Syuruk dan Zohor).

Peristiwa Korban Pertama Dalam Sejarah Manusia


Sejarah pengorbanan manusia di atas muka bumi ini ialah kisah dua orang adik-beradik bernama Qabil dan Habil, anak kepada Nabi Adam a.s. yang mana mereka berdua pernah diuji, siapakah di antara kedua-duanya yang sudi mengorbankan hartanya bagi menyatakan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Di dalam surah al-Maidah ayat 27 Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. kisah anak-anak Adam a.s yang masing-masing mempersembahkan korban bermaksud:

Dan bacalah wahai Muhammad kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan korban (kerana mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima kurban salah seorang darinya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata Qabil ``Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu. Jawab (Habil) hanya saya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.'' (5 : 27)


(Klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)

Mengikut ahli tafsir, Habil adalah seorang penternak kambing telah mempersembahkan seekor kambing yang terbaik semata-mata kerana mengikut seruan Allah s.w.t. dengan ikhlas dan penuh takwa serta ingin mendekatkan diri kepada perintah Allah. Sebaliknya Qabil seorang petani telah mempersembahkan gandum yang buruk lantaran ada perasaan bakhil, dengki, malu dan terpaksa, yang mana akhirnya Allah menerima korban daripada Habil.

Qabil yang kecewa di atas pengorbanan yang ditolak oleh Allah akhirnya sanggup membunuh saudaranya sendiri iaitu Habil, semata-mata kerana dengki tidak dapat mengahwini adik perempuan kembarnya bernama Iqlima yang akan dikahwinkan dengan Habil. Inilah adalah sejarah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia di atas muka bumi ini.

Sirah Nabi Ibrahim A.S dan Anaknya, Nabi Ismail , A.S yang Menakjubkan

Satu lagi kisah yang kita dapat mengambil pengajaran betapa kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. maka tiga orang hamba Allah iaitu Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail yang mana mereka bertiga berkorban tenaga dan daya usaha bagi membangunkan tanah Mekah sehingga menjadi pusat pertemuan dan perpaduan umat Islam dari seluruh dunia hingga ke zaman ini.

Menurut sejarah, Nabi Ibrahim mempunyai isteri pertama (Siti Sarah) yang sudah tua dan tidak dapat melahirkan anak. Siti Sarah `menghadiahkan' Siti Hajar seorang hamba kepada suaminya Nabi Ibrahim.

(Klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)

Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar meninggalkan Mesir dan menuju ke Mekah. Dalam perjalanan kedua-duanya menghadapi kesulitan dan kepayahan dengan meredah padang pasir. Apabila sampai di Mekah Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar keseorangan sehingga melahirkan seorang anak yang dinamakan Ismail.

Bumi Mekah yang sering kontang, tidak mempunyai air dan tidak ada tumbuh-tumbuhan menyebabkan tidak ada orang yang sanggup mendiaminya. Tetapi sejarah telah memaparkan kepada kita betapa semangat kecekalan Siti Hajar yang dapat mengatasi cabaran dan dugaan semasa melahirkan anaknya Nabi Ismail serta semasa mencari air bagi menyelamatkan dirinya serta anaknya bagi meneruskan kehidupan, adalah bukti kepatuhan dan ketaatan mereka berdua kepada perintah Allah s.w.t.

Apabila Nabi Ismail sudah mulai membesar serta dapat membantu kerja-kerja yang dilakukan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, maka timbullah rasa kasih Nabi Ibrahim kepada anaknya itu. Perasan kasih itu timbul kerana Nabi Ibrahim pada umur yang sudah lanjut barulah memperoleh seorang anak. Maka Allah s.w.t. hendak menguji kasih sayang Nabi Ibrahim, adakah kasih kepada anaknya melebihi daripada kasihnya kepada Allah. Surah as-Saffat ayat 102-109 bermaksud:

Maka tatkala anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ``Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: Maka fikirkanlah apa pendapatmu!'' Anaknya menjawab: "Wahai bapaku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.'' (37 : 102)


(Klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu - telah menjalankan perintah Kami). (37 : 103)


Serta kami menyerunya ``wahai Ibrahim!'' (37 : 104)

Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu!'' Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (37 : 105)

Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. (37 : 106)

Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.'' (37 : 107)

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: (37 : 108)

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (37 : 109)

Di dalam kitab tafsir menceritakan bahawa Syaitan cuba menghasut Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar, lalu dilontar dengan batu, dan inilah yang dilakukan oleh mereka yang melakukan ibadat haji di mana melontar di ketiga-tiga jamrah adalah merupakan salah satu daripada perkara wajib haji.

Sebelum Nabi Ibrahim melakukan penyembelihan ke atas anaknya kerana perintah Allah, Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya iaitu:

  • Ikatlah kedua-dua tangannya supaya ayahnya tidak terganggu.
  • Mukanya ditelengkupkan ke bumi supaya ayahandanya tidak dapat melihat wajahnya yang mungkin menimbulkan perasaan kasihan kepadanya.
  • Baju ayahnya diselakkan supaya tidak dilumuri oleh darah.
  • Tajamkan pisaumu dan cepatlah hiris ke leher supaya mudah mati.
  • Nabi Ismail menyuruh ayahnya membawa pulang bajunya untuk diberikan kepada ibunya sebagai kenangan.
  • Nabi Ismail menyampaikan salam kepada ibunya dan meminta ayahnya memujuk ibunya supaya beliau bersabar di atas perintah Allah s.w.t.
  • Nabi Ismail meminta supaya jangan menceritakan kepada ibunya bagaimana cara ayahnya menyembelih dan mengikat tangan.
  • Jangan biarkan kanak-kanak masuk ke rumah ibu supaya tidak bertambah kesedihannya.
  • Jika ayah berjumpa dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya, janganlah ayahnya memandang kepadanya supaya ayah tidak berkeluh kesah dan kesedihan.

Kisah Nabi Ibrahim yang rela mengorbankan anaknya sendiri, begitu juga isterinya Siti Hajar yang merelakan anaknya dikorbankan dan anaknya sendiri, Nabi Ismail yang sanggup dikorbankan adalah menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai pengorbanan mereka bertiga yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerana patuh dan taat kepada perintah Allah s.w.t.

Iktibar Positif dari Kedua-kedua Peristiwa Agung Ini

Firman Allah surah al-Hajj ayat 37 bermaksud: 

Daging dan darah korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.

Ini bermakna setiap manusia Muslim dituntut supaya berkorban apa sahaja yang termampu untuk mendapat keredhaan Allah serta bagi menyatakan ketaatan kepada-Nya sama ada berbentuk fikiran, tenaga atau harta benda.

Dalam suasana Hari Raya Korban kita dituntut melakukan ibadat korban seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, tidak ada amalan anak Adam (manusia) di hari Nahar (Hari Raya Haji) yang paling disukai oleh Allah selain daripada menyembelih korban.

(Klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)

Ternakan yang dikorban itu akan datang kepada mereka yang melakukannya pada hari Kiamat kelak seperti keadaan asalnya, iaitu lengkap dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan oleh Allah sebelum dia jatuh ke bumi (iaitu pahalanya disegerakan oleh Allah) maka dengan sebab itu hendaklah kamu dengan rela dan ikhlas hati melaksanakannya untuk keuntungan diri kamu sendiri.

Pengorbanan para sahabat dalam hijrah contohnya adalah menunjukkan kasih dan kepatuhan kepada Allah lebih daripada segala-galanya. Apakah pula pengorbanan kita kepada Islam?

Ketaatan dan pengorbanan Qabil dan Habil memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak bakhil setelah mereka memperoleh nikmat yang banyak daripada Allah s.w.t.

Mereka hendaklah bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang banyak dan tanda kesyukuran ialah menginfakkan atau membelanjakan sedikit daripada hartanya sama ada dalam bentuk yang wajib (zakat) atau membelanjakannya dalam bentuk yang sunat.

Ketaatan dan pengorbanan yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim, di mana umat Islam seluruh dunia telah mengorbankan sebahagian daripada harta benda mereka bagi menghadiri muktamar Islam sedunia dan melakukan ibadat haji. Nabi Ibrahim diperintah oleh Allah untuk membina Kaabah yang merupakan rumah ibadat yang pertama.

Firman Allah di dalam surah ali-Imran ayat 96-97 yang bermaksud:

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. (3 : 96)
 
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (3 : 97)

Setelah selesai Nabi Ibrahim membina Kaabah maka Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia supaya datang untuk melakukan ibadat haji. 

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud:

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh, (22 : 27)

supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaannya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.(22 : 28)

(Klik gambar untuk gambaran yang lebih jelas)

~135 LC Rider~
CTR Muhammad Asyraf

**p/s : Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha dari Tuan Haji Ashaari (bapa saya) & keluarga. Raya kali ini, adalah kali pertama dalam hidup, saya tidak menyambut bersama ahli keluarga. mana tidaknya, esok (khamis) dan lusa (jumaat) saya ada kelas. tak sanggup lah saya nak ponteng kelas kan. nak daging korban..!!! :-(


Tuesday, August 10, 2010

Kahwin Muda : Pro & Kontra


Isu kerajaan negeri Melaka untuk membenarkan pelajar berkahwin pada usia muda, bertujuan bagi mengekang gejala hamil luar nikah benar-benar menarik minat saya untuk berkongsi pendapat bersama semua pembaca. Kes-kes pembuangan bayi yang saban hari terpampang di dada akhbar dan berita yang menyentuh tentang topik bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang seperti sampah dimerata-rata tempat oleh ibu-ibu yang tidak keperimanusiaan memberi desakan kepada kerajaan negeri Melaka untuk mencari jalan penyelesaian. Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah menimbulkan sedikit kontroversi apabila bercadang untuk menubuhkan sebuah khas di negeri itu bagi menempatkan anak-anak gadis yang telah terlanjur dan melahirkan anak luar nikah. Sehingga kini, cadangan itu senyap sunyi tanpa sebarang berita. Mungkinkah hasrat beliau itu sudah terkubur dek menerima tentangan dan teguran dari pelbagai pihak terutamanya kerajaan pusat? Masih menjadi tanda tanya. Saya ketawa kecil apabila mendapat tahu tentang cadangan tersebut. Bukan memperlekehkan niat murni mereka apatah lagi ‘menunjuk hebat’, Cuma saya keliru dan tertanya-tanya kepada diri sendiri, adakah ini langkah yang paling bijak untuk menyelesaikan kemelut yang melanda?

Selain untuk berkongsi pendapat tentang isu ini, saya juga tertarik dengan pendapat dari saudara Muhammad Hafizuddin Ramli yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan di ruangan yang sama bertarikh 5 Ogos 2010 yang bertajuk ‘Kahwin Muda Elak Gejala Hamil Luar Nikah’. Saya ingin memperbetulkan sedikit salah faham yang berkaitan dengan penulisan beliau. Hasi pembacaan teliti ke atas penulisan tersebut dan cebisan ilmu yang sempat saya pelajari, saya berasa bertanggungjawap untuk memberi teguran dan seterusnya konsep tentang perkahwinan dapat diperbetulkan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibawah kelolaan menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah membantah idea yang dilontarkan oleh kerajaan negeri dengan alasan risikonya lebih memihak kepada implikasi negatif walaupun beliau sedia maklum bahawa niat kerajaan negeri Melaka baik. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMP), Mohammad Sabri Mohamd Arsad, tidak ketinggalan untuk memberi pendapatnya. Beliau turut membantah dan menolak cadangan kerajaan negeri itu. Katanya, kerajaan perlu mengekalkan keputusan peraturan sebelum ini yang menetapkan bahawa pelajar sekolah berkahwin tidak dibenarkan ke sekolah. Tambah beliau lagi, jika diberi kebenaran berbuat demikian, maka akan menimbulkan satu tingkah laku negatif dalam kalangan pelajar sekaligus mewujudkan suasana tidak selesa di sekolah. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh mereka berdua. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kebenaran berkahwin di bawah umur selayaknya seperti terkandung dalam peruntukan undang-undang Islam bukan diberi kepada semua, sebaliknya ditapis dan bergantung kepada keperluan kes tertentu dan ini sedia maklum termaktub di bawah enakmen Majlis Agama Islam Negeri.

Untuk pengetahuan para pembaca, dalam enakmen Majlis Agama Islam dan peruntukan undang-undang Islam, lelaki yang berumur 18 tahun ke atas dan perempuan 16 tahun ke atas yang dibenarkan berkahwin ada pengecualian oleh Mahkamah Syariah untuk umur berkenaan. Saya bersetuju dengan pendapat beliau yang mengatakan setiap langkah penyelesaian yang diambil bagi membendung gejala hamil nikah dalam erti kata lain telah berzina adalah mengikut persepsi sesetengah pihak yang mungkin dilihat boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut. Selepas mencadangkan penubuhan sekolah khas bagi pelajar mengandung dan berkahwin muda, kerajaan negeri itu ingin ‘menggalakkan’ pula ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah.

Dalam penulisan saudara Hafizuddin di ruangan ini, saya mendapati semua fakta-fakta yang diutarakan adalah benar sama sekali. Tidak ada sedikit pun fakta yang salah dan palsu. Cuma saya menyedari bahawa terdapat sedikit salah faham dan kekeliruan yang ditampakkan menerusi penulisan beliau. Memang benar, perkahwinan pada usia muda bukanlah perkara baru di Negara ini. Saya mengambil contoh, nenek saya sendiri berkahwin ketika usianya mencecah 15 tahun, dan datuk saya pula berusia 18 tahun ketika itu. Apabila membuka suratan sejarah Islam, Saidatina Siti Aisyah binti Abu Bakar tampil sebagai isteri yang paling muda dalam kalangan isteri-isteri Baginda S.A.W. Saidatina Aisyah Humaira’ sudah pun bergelar isteri sewaktu usianya 9 tahun. Jadi, apa yang hendak dihairankan?


Apa yang ingin saya mempersoalkan disini ialah mengapa kita perlu membandingkan usia zaman dahulu dan usia zaman kini? Relevankah? Apakah unsur atau perkara yang boleh dijadikan sebagai alat perbandingan? Nenek dan datuk kita dahulu berkahwin pada zaman yang berlainan, ketika negara baru sahaja dalam proses mencapai kemerdekaan, zaman darurat, pasca kemerdekaan dan sewaktu dengannya. Ekonomi negara baru sahaja membangun, para pemimpin kerajaan baru dilantik, sedang mengatur organisasi kerajaan dan sedang bertungkus-lumus menyusun atur pembangunan negara. Ekonomi semasa tidak stabil disamping hubungan Tanah Melayu dengan negara-negara luar belum terjalin dengan kukuh dan masih belum meluas. Kalau dilihat dari aspek perbandingan sosioekonomi zaman dahulu dan zaman kini sangat berbeza. Kalau dahulu, sesiapa yang menjawat jawatan sebagai seorang kerani sudah dianggap hebat dan berjaya. Kerana peluang untuk menjawat jawatan dalam kerajaan amatlah tipis dan sukar sekali. Sebab itulah kerjaya orang tempatan rata-ratanya hanyalah sebagai nelayan, pesawah, petani, atau lebih muda didefinisikan sebagai ekonomi sara diri kerana mereka bekerja untuk menyara hidup diri sendiri dan keluarga. Mereka merasakan tidak terlibat dalam sebarang bentuk kemajuan negara ketika itu. Bukan niat untuk menghina apatah memandang rendah, tetapi realitinya rata-rata penduduk tanah melayu ketika itu tidak berpelajaran tinggi, dan hanya sekadar belajar untuk membaca dan menulis itupun masih ramai lagi dibelengu buta huruf. Kesempitan hidup ditambah pula dengan tekanan ekonomi yang terumbang ambing membuatkan mereka lebih berdikari dan lebih matang untuk menentukan hala tuju hidup masing-masing. Itulah sebab utama, zaman itu ‘terkenal’ dengan suasana kahwin muda. Kerana masing-masing sudah matang fikirannya, mereka telah terdedah dengan maksud kehidupan itu sebenarnya, mereka benar-benar memahami erti perkahwinan itu, memahami tangungjawap masing-masing, mereka sudah masak dengan kepayahan hidup ketika itu ditambah pula, kebanyakannya pasangan adalah pilihan orang tua.

Apabila dibandingkan dengan zaman sekarang, sangat jauh berbeza. Negara sekarang sudah jauh maju ke hadapan, hubungan diplomatik dan antarabangsa semakin meluas dan akrab, suasana ekonomi yang harmoni membolehkan ramai rakyat tempatan kini sudah hidup mewah. Tiada lagi ‘situasi’ makan ubi kayu. Semua orang diberi peluang yang sama untuk berjaya, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tertinggi. Tambahan pula, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti tersohor tempatan mahupun luar Negara terbuka luas untuk sesiapa yang berkelayakan. Setiap kaum bersaing untuk mendapat tempat yang semakin hari semakin terhad. Persaingan sengit ini tidak sepatutnya dipandang enteng oleh kita terutamanya generasi muda. Mereka lah tonggak utama dan tulang belakang yang bakal menerajui negara suatu hari nanti. Apabila hidup mewah, anak-anak mula dibelai manja. Segala kehendak dan keinginan mereka segera dipenuhi oleh ibubapa tanpa banyak soal. Sayang anak la katakan. Nak cubit rasa salah, nak rotan bimbang anak merajuk. Itulah realiti dalam keluarga moden. Jadi, bagaimana hendak membentuk pemikiran anak-anak zaman sekarang. Mereka masih terlalu mentah dan tidak ‘kuat’ untuk mengalami alam perkahwinan yang memerlukan kecekalan dan kematangan yang betul-betul mantap. Nak beli rokok pun masih mintak duit mak bapak. Aduhai anak-anak sekarang.

Memang benar hasrat kerajaan negeri Melaka itu baik, menangani zina yang semakin berleluasa. Malah Ketua Menteri sendiri berkata, kahwin muda atau berzina? Ya! Saya setuju. Benar, kahwin itu mencegah zina. Dalam menangani masalah, kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari jalan penyelesaiannya. Mengapa ya? Sebabnya, bukankan Islam itu diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Islam sudah syumul semenjak 1400 tahun yang lalu. Tiada sedikit pun keraguan terhadap Islam. Begitu juga dengan masalah zina. Untuk mencegah zina, kita perlu kembali merujuk kepada kesyumulan Islam. Islam ada solution nya untuk mencegah zina. Dalam Islam, pasangan yang belum berkahwin akan dihukum dengan 100 sebatan tanpa sedikitpun timbul belas kasihan. Manakala bagi pasangan yang sedang ataupun telah berkahwin, akan dihukum dengan rejam sehingga mati. Malangnya sekali, Malaysia gagal atau tidak akan sesekali menjalankan hukum Allah itu. Hal ini kerana, perlembagaan dan undang-undang Malaysia masih terikat dan bertunjangkan sekularisme bertuhankan barat. Ingin saya ingatkan, saya tidak menyentuh isu politik ya. Cuma, ini hukum Allah. Hukum Allah tidak boleh dipengaruhi dengan politik dan nafsu. Andainya tidak boleh sekalipun, Islam ada prinsip syariahnya iaitu ‘prevention is better than cure’ atau ‘mencegah itu lebih baik dari merawat’. Dalam al-Quran, Allah ada menyebut jangan sesekali kamu mendekati zina. Diulang, MENDEKATI ZINA! Bukannya MELAKUKAN ZINA!


Maafkan saya, tetapi saya tetap ingin menyalahkan pihak kerajaan ataupun agensi-agensi kerajaan terhadap gejala zina ini. Buktinya, lambakan iklan-iklan yang berunsur lucah, filem-filem melayu yang diselitkan dengan cebisan babak pornografi, program-program hiburan realiti yang bersepah membolehkan pergaulan anak-anak muda bebas tanpa batasan. Artis-artis Malaysia tidak ketinggalan ‘menyumbang’ terhadap gejala zina ini. Etika pemakaian artis yang bertelanjang itu menjadi kebanggaan dan ikutan besar anak-anak muda. Mereka tidak malu malah berasa bangga pula menunjukkan ‘kehebatan’ badan masing-masing. Sungguh celaka lah mereka. Dimanakah peranan pihak kerajaan? Mereka sibuk melaungkan slogan ‘Kami Prihatin’, siap ada lagu tema lagi oleh artis-artis yang kononnya prihatin dan ingin membuat kerja-kerja amal. Huh!! Naik meluat saya dibuatnya. Logikkah, kita melarang orang untuk tidak melakukan sesuatu, tetapi dalam masa yang sama kita mempromosi pula malah menyokong pula perkara mungkar? Sebagai contohnya, Amin (bukan nama sebenar) melarang kawannya, Sufi (bukan nama sebenar) dari meminum arak, tetapi dalam masa yang sama Amin membuka gerai menjual arak kepada Sufi. Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawap. Anda sibuk menjalankan kempen, mencegah zina dan buang bayi dan macam-macam lagi, tetapi dalam masa yang sama anda lupa yang anda sibuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada penzinaan. Konsert ‘Jom Heboh’ salah satu daripadanya. Konsert yang langsung tidak memberi sedikit pun manfaat. Membazirkan wang rakyat dan berkonsepkan keuntungan peribadi, menjulang melangit budaya hedonism. Anda berada di pihak mana? Berhenti dari bersikap hipokrit! Jika benar anda mahu menjalankan kempen mencegah penularan zina ini, anda harus betul-betul ikhlas. Ikhlas yang saya maksudkan ini ialah, hentikan serta-merta ataupun berperingkat semua jenis hiburan yang berunsurkan maksiat dan melalaikan, percampuran lelaki perempuan tanpa batasan syariah, iklan-iklan yang menghairahkan dan lucah, babak-babak filem perlu ‘bersih’ dari sebarang bentuk pornografi atau keterlaluan walaupun hanya sekadar lakongan. Artis-artis perlu ‘diajar’ cara berpakaian yang lebih terhormat. Andai hati sudah keras sekalipun untuk menutup aurat dan ‘ingin’ menjaja aurat masing-masing, paling kurang sekalipun sedarlah yang anda itu beragama Islam.

Ini kata saya

Jodoh pertemuan itu ketentuan Allah s.w.t.. Manusia mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Jika kita ditentukan berkahwin dalam usia muda, mungkin itulah yang terbaik yang telah Allah tentukan untuk kita. Sebaliknya jika kita berkahwin dalam usia lanjut mungkin ada hikmah yang terkandung di dalamnya. Namun sebagai insan kita disuruh berikhtiar untuk mencari pasangan hidup yang memenuhi tuntutan agama. Kebanyakan remaja sekarang beranggapan kahwin pada usia muda banyak masalah. Berkemungkinan pada masa itu mereka belum ada kerjaya yang kukuh selain belum bersedia. Apabila sebut soal perkahwinan, apa yang pasti ia adalah satu sunah. Mengapa perlu menidakkannya? Tak kira pada usia berapa pun, kita perlu menegakkan sunah itu.

Perkahwinan adalah sesuatu yang indah... ibarat syurga di dunia jika kita bijak melayari bahtera perkahwinan. Perkahwinan adalah satu ibadah yang mulia seandainya kena pada caranya. Memang benar, perkahwinan bertujuan untuk menyalurkan nafsu ke jalan yang diredhai oleh Allah dalam erti kata lain, kita mengelak zina dengan cata berkahwin. Tetapi, apa yang saya nak tegaskan disini ialah, perkahwinan bukan hanya sekadar berlandaskan nafsu semata. Jangan kita berkahwin atas dasar nafsu, kelak ia akan memakan diri. Pendek kata, ikut nafsu lesu, ikut hati mati. Nasihat saya, berkahwin lah kita atas dasar redha dan rahmat Allah, iman dan taqwa yang kukuh, mengikuti sunnah Nabi Muhammad S.A.W. insya Allah ia akan kekal hingga ke syurga. nafsu perlu diperintah oleh kita, bukan kita yang diperintah oleh nafsu itu. nafsu perlu dibimbing dengan ajaran wahyu Allah supaya ia mudah dijinakkan.

saya merasakan, Tidak salah berkahwin pada usia muda asalkan semua keperluan dan persediaan sudah mencukupi. Hakikatnya perkahwinan pada usia muda bukanlah suatu yang mustahil, asalkan seseorang itu sanggup serta ikhlas memikul peranan dan tanggungjawab yang telah sedia ada.

“Tidak ada masalahnya perkahwinan yang dibina oleh pasangan yang sama-sama muda. Apa yang penting ialah bagaimana kita mengendalikan kehidupan berumah tangga itu sendiri.

Statistik kahwin awal

KETUA Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohammad Abdullah berkata, perkahwinan bawah umur di Malaysia banyak berlaku di Kelantan yang mencatatkan 115 kes, Sabah (102) dan Sarawak (100) bagi tempoh 1 Januari 2005 hingga 12 Januari 2006.

Bagi kes yang sudah selesai permohonan nikah bawah umur, Sarawak mendahului dengan 92 kes, Kelantan (81) dan Sabah (60).

“Perkahwinan bawah umur melibatkan sama ada lelaki atau perempuan yang berkahwin sebelum berusia 18 tahun dan 16 tahun iaitu syarat yang diletakkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam. Maknanya, mereka berkahwin semasa masih bersekolah atau tidak menamatkan persekolahan atau tidak bersekolah,” jelas Mohamad.

klick gambar untuk gambaran yang lebih jelas

Antara punca berlakunya kahwin bawah umur ialah pasangan suami isteri muda itu hilang minat dengan alam persekolahan dan mendapat bakal suami yang mampu menyara kehidupan mereka. Ramai remaja perempuan yang tidak meneruskan persekolahan memilih untuk berkahwin dan ia dipersetujui oleh ibu bapa.

Selain itu, remaja yang berasal dari kampung dan tinggal di pedalaman serta kurang pendedahan kepada kepentingan pendidikan turut menyumbang kepada perkahwinan bawah umur. Pada mereka perkahwinan adalah jalan untuk menyelamatkan mereka daripada masalah sedangkan cabaran pada masa hadapan memerlukan masyarakat yang celik ilmu pengetahuan.

“Oleh sebab yang berkahwin bawah umur adalah remaja perempuan, maka suami harus bertanggungjawab membimbing isteri dalam menguruskan rumah tangga. Kita perlu ingat, dalam usia yang muda, mereka belum mempunyai pengalaman yang cukup dan kematangan sebagai seorang isteri. Adalah penting suami memainkan peranan dalam rumah tangga,” ujar Mohamad menasihati pasangan muda yang mendirikan rumah tangga.

Klick gambar untuk gambaran yang lebih jelas

Walaupun hingga kini hanya 595 kes kahwin bawah umur dicatatkan di seluruh Malaysia termasuklah di negeri-negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor, dan ia hanya dianggap sebagai kes terpencil, tidak mustahil akan berlaku peningkatan perkahwinan bawah umur jika tiada usaha dijalankan untuk membendung perkara tersebut.

Hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat berilmu mungkin tidak akan tercapai jika masih ada remaja yang tercicir daripada alam persekolahan dan bergantung hidup semata-mata kepada perkahwinan.

Kesimpulan yang mudah

nasihat saya kepada kerajaan negeri Melaka

sebelum anda memutuskan untuk membuat sesuatu dasar, fikir lah dengan fikiran logik berlandaskan al-Quran & Hadith. jangan berfikir betunaskan nafsu dan hasutan syaitan. buat lah kajian yang lebih terperinci. jangan memperjudikan masa hadapan anak-anak muda di negeri anda sendiri. Jangan jadikan anak-anak muda ini sebagai bahan ujikaji anda. jangan meng'eksperimen'kan mereka. anda adalah pemimpin kepada rakyat je;lata di negeri sendiri. mesti ada baik buruknya. senaraikan.jika kesan baik itu lebih banyak dari kesan buruk, teruskan. just go on. kesan buruk itu perlu difikirkan cara lain untuk menanganinya. jika kesan buruk lebih banyak dari kesan baik, lebih baik anda lupakan sahaja niat anda itu. ingat, anda bertanggungjawap sepenuhnya diatas apa yang bakal terjadi kepada mereka.

nasihat saya kepada kerajaan Persekutuan

jangan jadi hipokrit. perbetulkan niat anda. saya tidak membenci anda. malah saya menyokong anda sepenuhnya tanpa sedikit pun keraguan. tapi kita tahu, tiada manusia yang sempurna. disebalik kehebatan dan keterampilan barisan kepimpinan anda. sudah pasti tercalit sedikit kecacatan lahirian dan fikriah. jika anda mahu gejala zina diatasi dan budaya buang bayi dihapuskan, mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. ingat! 1 dunia melihat anda. hapuskan budaya hedonisme terlebih dahulu. kawal aktiviti-aktiviti hiburan di negara ini. tegur dan beri lebih banyak perhatian dengan dunia artis yang banyak menyumbang kepada gejala sosial di negara ini. maafkan saya seandai saya terkasar bahasa, tetapi ini bukti saya sayangkan Malaysia. saya mahukan Malaysia bersih dari gejala zina dan buang bayi yang tidak berdosa. andai benar, Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara Islam. anda kena buktikan! jangan sekadar Islam hanya sekadar pada nama. tercatat pada perlembagaan sahaja, tetapi undang-undang kotor dan dicalit dengan najis sekularisme. adakah itu yang dinamakan sebagai negara Islam? masih menjadi tanda tanya....

Nak kahwin..ngeeee~
-CTR Muhammd Asyraf-

**p/s : Ahlan Wasahlan ya Aidil Mubarak. Selamat menunaikan ibadah puasa. Ramadhan bulan keampunan. Marilah kita memaafkan antara satu sama lain. Jadikan Ramadhan sebagai titik permulaan bagi kita untuk berubah menjadi seorang hamba yang lebih baik dari bulan-bulan sebelum ini. Insya Allah. Jangan asyik pikir nak raya plak ye...~,^

Wednesday, August 4, 2010

Gadis Solehah Itu

Assalamualaikum... apa khabar orang Malaysia dan seluruh dunia ya? Sihat kan. Syukur Alhamdulillah.


Gadis Solehah Itu


Gadis Solehah itu,
Hatinya memang tabah,
Andai ditakdirkan hidup ditimpa musibah,
Tidak mudah dia melatah langkah mengelabah,
Tidak lokek senyuman semanis madu lebah,
Meskipun debu tanah dibayar darah,
Inilah takdir menjanjikan seribu tuah,
Denyut nadinya merindui kamus berhemah,
Menjunjung melangit khilafah Allah,
Memerah keringat berdaunkan syahadah,
Sujudnya diiringi tangisan maghfirah,
Jiwanya tenang disayangi ibu dan ayah,
Tidak perlu bertanyakan mengapakah,
Dia bahagia kehidupan di raudhah
Engkau gadis solehah,cerminan Ainul Mardiah...


Gadis solehah itu
Malunya mengatasi perawan,
Beraninya mengatasi pahlawan,
Senyumannya cukup menawan,
Cintanya bukan pada gambaran,
Cantik akhlaknya melebihi rupawan,
Tidak mengapa andai hidup tidak berteman,
Hatinya mengharap rahmat tidak berkesudahan,
Nikmat ketenangan sentiasa berkekalan,
Rindunya bukan pada pertemuan
Tapi hatinya tersirat takwa keimanan…


Gadis solehah itu
Seorang insan yang hebat,
Tidak membiarkan diri membuat jahat,
Balutan jasad berlandaskan syariat,
Yakin Allah sentiasa melihat,
Akan apa yang dia sedang buat,
Tangannya menadah merayu seribu rahmat,
Dipayungi malaikat jalan menuju nikmat,
Dua kata keramat dicantum menjadi azimat,
Dikikisnya dendam kesumat,
Supaya dia senantiasa bertindak cermat,
Al-Quran dan Hadis suruhan yang ditaat,
Bangkitnya semangat jihad satu matlamat...


Gadis solehah itu
Itu cantik,
Walaupun sering kali hatinya diusik,
Oleh pemuda yang kurang terdidik,
Tubuhnya tidak mudah melentik,
Hatinya cekal mindanya cerdik,
Berwaspada terhadap bahaya syirik,
Mulutnya menidakkan budaya munafik,
Sopan santunnya mempersona bersulamkan islamik,
Tidak jemu bergelar dai’e imannya menaik...


Gadis solehah itu
Ada saja orang yang dengki,
Diadunya kepada Ilahi,
Pinta agar dilembutkan hati,
Dia bukan peminta tetapi pemberi,
Dia dilahirkan insan yang berluhur budi,
Melalui corakkan akhlaknya berseni,
Lagaknya searus masyrakat hadhari,
Bicaranya umpama sebuah simfoni,
Akalnya suci hujahnya madani,
Tegasnya sebagai pematang peribadi,
Ilmunya dicari bukan sekadar menanti,
Disaat dunia runtuh dihumban modenisasi
Gadis solehah itu saksi seorang penyeri...


Calon Imam Muda *^,~ layak ke??*
-Ctr Muhammad Asyraf-


(Imam Muda Asyraf, juara Imam Muda siri-1)

**p/s : sedihnye saya, program imam muda siri pertama telah menutup tirai pada 30/07/10 yang lalu. Paling membanggakan saya, gelaran ‘Imam Muda Unggul’ dinobatkan kepada Imam Muda Asyraf, yang berasal dari Pulau Pinang. Kebetulan pula, nama kami berdua sama taw; Muhammad Asyraf. Tempat asal kami pun sama juga, Pulau Pinang. Cuma daerahnya saja berlainan. Bangga yang teramat. Jangan jeles taw..ahaks~ *tak sabar-sabar nak tunggu program imam muda untuk musim akan datang.