Assalamualaikum…
Sebagai manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.
Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.
Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad).
Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.
Bak kata pepatah “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Islam menganggap fitnah adalah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
- Fitnah itu lebih buruk daripada membunuh. (al-Baqarah: 191)
- Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29)
Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.
Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk memastikan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6).
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila seseorang mengkhabarkan sesuatu maklumat, jangan sesekali begitu mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya atau difahami maklumat berkenaan.
Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil ketika memperoleh maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak iaitu tertuduh dan yang menuduh (membuat tuduhan).
Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.
Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.
Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.
Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.
Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiyah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit. Lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a …”
Selidik dulu berita yang diterima
Sebenarnya dalam tradisi Islam telah lama wujud kaedah yang mantap untuk membuat analisis terhadap sesuatu maklumat. Perkara ini kita dapat fahami menerusi betapa teliti dan terperinci para ulama hadis dalam meriwayatkan hadis yang sampai kepadanya.
Setiap hadis dinilai daripada segi sanad dan matannya. Apabila mengkaji sanad hadis, para ulama akan memastikan sanad hadis tersebut sampai kepada Nabi SAW di mana akan dipastikan para perawi pernah bertemu dengan perawi sebelumnya dalam periwayatan hadis.
Dalam mengkaji setiap jalur perawi yang meriwayatkan hadis, para ulama akan mengkaji sifat-safat perawi dan kekuatan ingatannya. Inilah yang disebutkan sebagai ilmu al-jarhu wa ta’dil. Semuanya untuk memastikan hadis yang diriwayatkan itu memang datang daripada Rasulullah SAW.
Muhammad ibn Sirin (meninggal dunia pada 110H) berkata: “Dahulu ahli hadis tidak bertanya tentang sanad, namun apabila berlaku fitnah (perbalahan dalam kalangan umat Islam) maka ahli hadis pun bertanya: “Sebutkan untuk kami para perawi kamu.”
Maka dilihat ahli sunnah (yang berpegang dengan sunnah) lalu diambil hadis mereka, dilihat pula ahli bidaah lalu tidak diambil hadis mereka. (riwayat Muslim).
Dalam organisasi, kerap kali berita yang tidak tepat tersebar dengan cepat dan meluas. Suasana ini wujud kerana sikap kita yang tidak mempunyai kesungguhan untuk menilai fakta secara adil. Akhirnya, secara tidak sedar kita turut terlibat dalam menjadi ‘perawi’ berita palsu.
Ingat, lebih baik menyesal kerana tidak berkata-kata, dari kita menyesal kerana telah terlanjur berkata.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian. (an-Nur: 19).
Islam mengharamkan fitnah kerana kesannya sangat buruk. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak. Selalunya fitnah direka untuk memburuk-burukkan seseorang dengan tujuan untuk menjatuhkan moral dah harga diri sekaligus orang lain akan membenci individu yang difitnahnya itu.
Justeru, peliharalah diri, awasilah lidah kamu, didiklah keluarga dan masyarakat tentang bahaya dan implikasi negatif perbuatan fitnah agar dengan demikian, kita dapat menikmati kehidupan yang bahagia, sejahtera dan saling berkasih sayang. Bak kata pepatah: kerana pulut santan binasa, kerana mulut, badan binasa.
Fitnah Pemusnah Tamadun
Asyraf Hernandez
Pedoman: Sebenarnya, tragedi fitnah ini sering kali berlaku disebabkan perasaan hasad dengki yang tidak mampu lagi dibendung oleh si pemfitnah. Hal ini mungkin terjadi kerana si pemfitnah ini sudah lama menyimpan perasaan benci yang sudah lama terpendam sejak sekian lama. Fitnah juga boleh berlaku dalam kalangan si pengumpat. Di kala mereka mengumpat dengan hasrat untuk memburuk-burukkan orang lain, si pengumpat ini secara sengaja atau tidak sengaja menokok tambah cerita palsu yang tidak benar. Inilah yang dinamakan fitnah. Hal ini akan memburukkan lagi keadaan. Pengumpat ini akan berasa seronok apabila melihat orang yang diumpatnya itu hidup merana dan disisihkan oleh masyarakat. Inilah ‘barah’ yang dihidapi oleh golongan penyakit hati ini. hati mereka busuk dan memerlukan tarbiah Islami. Kebanyakan individu ini berselindung di sebalik topeng da’ie, mengetuai usrah, ataupun naqib. Mereka mengaku kononnya mereka lah yang memperjuangkan Islam sebenar tetapi hakikat sebenarnya mereka adalah orang munafik yang bakal dihumban ke neraka kelak.
Wallahua’lam…